suria

Dua pengarah didakwa palsukan butir-butir peribadi

KUALA LUMPUR: Dalam kes berasingan, dua pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap dua pertuduhan memalsukan butir peribadi dan menjadi pengarah walaupun muflis.

Dalam kes pertama, Ismavani Kalil, 36, pengarah syarikat pengiklanan didakwa memalsukan butir peribadi bahawa dirinya bukan muflis di dalam borang 48 A iaitu borang yang harus diserahkan kepada Pendaftar syarikat.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Putra Place, 100, Jalan Putra di sini di antara 30 Jun 2006 hingga 4 Julai 2006 mengikut Sekyen 364(2) Akta Syarikat 1965.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, Ismavani didakwa menjadi pengarah kepada Syarikat Moviecam (M) Sdn Bhd walaupun telah disytiharkan muflis tanpa mendapat kebenaran daripada mahkamah.

Ismavani, yang didakwa melakukan kesalahan itu di Movie Cam (M) Sdn Bhd, Kompleks Maluri, Jalan Telaka, Taman Maluri di antara 30 Jun 2006 hinga 12 Sept 2006, dituduh mengikut Seksyen 125(1) Akta Syarikat 1965. Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga lima tahun dan denda RM100,000 atau keduaduanya sekali.

Hakim Rozana Ali Yusoff menetapkan ikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seoran penjamin dan menetapkan perbicaraan selama tiga hari bermula 22 April tahun ini.

Di mahkamah sama, Nik Sharifulden Nik Ab Razak, 50, pengarah syarikat perunding kejuruteraan menghadapi pertuduhan memalsukan butir peribadi bahawa dirinya bukan muflis di dalam borang 48 A iaitu borang yang harus diserahkan kepada Pendaftar syarikat.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Putra Place, 100, Jalan Putra di sini di antara 30 Jun 2006 hingga 4 Julai 2006.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menjadi pengarah kepada Syarikat Perunding JPNS Sdn Bhd walaupun disytiharkan muflis tanpa mendapat kebenaran daripada mahkamah.

Nik Sharifulden didakwa melakukan kesalahan di Perunding JPNS, Tingkat Bawah Jalan Cinta Sayang, Taman Ria Jaya di antara 5 Nov 2006 dan 30 Jun 2006.

Rozana menetapkan ikat jamin sebanyak RM3,000 dan perbicaraan selama tiga hari bermula 15 April ini.

Keduadua pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Madihah Mohd Faizi manakala Ismavani dan Nik Sharifulden tidak diwakili peguam. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain