suria

PM minta masjid adakan solat hajat untuk Palestin

KUALA TERENGGANU: Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta masjid di seluruh negara mengadakan solat hajat selepas menunaikan solat Jumaat esok bagi mendoakan keamanan di bumi Palestin.

Abdullah berkata beliau telah meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk memaklumkan perkara tersebut kepada semua masjid di seluruh negara.

"Saya minta semua umat Islam di negara ini supaya sama-sama mengadakan solat hajat selepas sembahyang Jumaat. Kita doa kepada Allah s.w.t supaya bumi Palestin kembali aman.

"Semoga Allah akan makbulkan doa kita," katanya ketika berucap selepas menunaikan solat Isyak dan solat hajat berjemaah bersama qariah Masjid Engku Long, Kuala Ibai di sini malam ini.

Katanya sebagai umat Islam, pendekatan agama diambil untuk meminta pertolongan daripada yang Esa.

Abdullah berkata bagi membantu mangsa-mangsa yang tertindas di bumi Palestin itu juga kerajaan telah menyalurkan bantuan dana sebanyak RM3.5 juta melalui Mercy Malaysia, sebuah pertubuhan bantuan kemanusiaan sukarela.

Beliau berkata Mercy juga telah mendapat kebenaran daripada kerajaan Mesir yang bersedia membuka laluan sempadannya bagi membolehkan pasukan itu memasuki Semenanjung Gaza.

Selepas bersolat, Abdullah turut meluangkan masa melawat peti undi Kuala Ibai. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain