suria

Karpal: Kenyataan Anwar mengenai hudud mengelirukan

KUALA LUMPUR: Kenyataan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan hukum hudud hanya terpakai kepada orang Islam dan bukannya di seluruh negara adalah mengelirukan, kata Pengerusi DAP Karpal Singh hari ini.

"Kenyataan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa tidak perlu menolak hukum hudud kerana ia hanya terpakai kepada orang Islam adalah bertentangan dengan hasrat PAS yang mengakui mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

"Ini memang menjadi pendirian PAS sejak ditubuhkan sepertimana dicerminkan dalam kenyataan oleh bekas dan pemimpin PAS sekarang," katanya dalam kenyataan di sini.

Karpal Singh menegaskan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat, dipetik dalam laporan berita pada 23 Dis tahun lepas sebagai berkata: "Saya tidak nampak kenapa mereka (iaitu orang bukan Islam) tidak dapat menerima hukum hudud yang tidak berbeza daripada undang-undang Barat".

Karpal, yang juga anggota Parlimen Bukit Gelugor berkata untuk hukum hudud diguna pakai, prasyaratnya ialah penubuhan sebuah negara Islam seperti Arab Saudi di mana undang-undang Islam terpakai kepada orang Islam dan bukan Islam.

"Adalah penting untuk Anwar mengetahui apakah niat sebenar PAS yang memperjuangkan penubuhan sebuah negara Islam.

"Mungkin Presiden PAS (Datuk Seri Abdul) Hadi Awang patut memberikan penjelasan sama ada hukum hudud yang ingin dilaksanakan PAS terpakai kepada orang Islam dan juga bukan Islam sekiranya PAS berjaya menubuhkan sebuah negara Islam. Demi kepentingan orang ramai, beliau patut berbuat demikian," katanya.

Karpal Singh berkata Malaysia bukan sebuah negara Islam dan kelulusan serta pelaksanaan hukum hudud adalah melanggar Perlembagaan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain