suria

Jangan pertikai keikhlasan kerajaan bantu Palestin

KUALA TERENGGANU: Keikhlasan kerajaan membantu rakyat Palestin tidak harus dipertikaikan atau dipolitikkan dengan mendakwa ia bertujuan meraih sokongan pengundi di Parlimen Kuala Terengganu, kata Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Ini bukan isu politik, ini isu kemanusiaan. Isu kemanusiaan tak boleh dipolitikkan, kalau pembangkang kata usaha yang kerajaan buat itu kerana untuk kepentingan politik, cetek sangat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC) Terengganu di sini hari ini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata tindakan pembangkang yang mendakwa usaha kerajaan itu adalah untuk meraih sokongan pengundi terhadap Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil itu, 17 Jan ini, membuktikan merekalah sebenarnya yang cuba mempolitikkan isu tersebut.

"Kita bukan sahaja simpati tapi marah dengan apa yang berlaku di Semenanjung Gaza, anak tak berdosa, orang awam dibunuh, dianiaya. Kerajaan memandang berat apa yang berlaku sebab itu kita saran adakan persidangan khas Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

"Ini bukan isu nasional, ini isu antarabangsa, kita tidak boleh memandang ringan apa yang dilakukan Israel. Ini penting dan kita perlu tangani, bukan setakat kutuk tapi mesti dihentikan, kita tak mahu nyawa orang yang tidak berdosa jadi korban.

Kalau ada yang cuba guna isu ini untuk raih sokongan ini tak bertanggungjawab sama sekali," katanya.

Muhyiddin turut menolak dakwaan pemimpin pembangkang yang mula kedengaran dalam ceramah kempen yang bermula semalam bahawa usaha yang dilakukan kerajaan dengan menggesa PBB mengadakan sidang tergempar berhubung serangan yang berlarutan sejak minggu lalu itu, siasia kerana Amerika Syarikat akan menggunakan kuasa pembatalnya.

"Kita bukan minta persidangan Majlis Keselamatan, ini persidangan Pertubuhan Bangsa Bersatu. Kita percaya banyak negara akan bersama (menyokong) saranan kita untuk menghentikan kezaliman Israel," katanya.

Walau apa pun yang dilakukan pembangkang, katanya, rakyat lebih matang menilai dan setuju dengan langkah yang diambil kerajaan berhubung perkara berkenaan.

"Pembangkang tidak bersetuju, mungkin kerana mereka bimbang saranan kerajaan untuk PBB adakan sidang tergempar mendapat perhatian dunia, bimbang nanti rakyat akan faham apa yang diperjuangkan kerajaan Barisan Nasional (BN), jadi merekalah yang sebenarnya mempolitikkan perkara ini," katanya.

Muhyiddin berkata kebanyakan isu yang dibangkitkan pembangkang pada pilihan raya kecil kali ini sudah difahami rakyat kerana isu yang sama juga digunakan pada Pilihan Raya Umum 8 Mac lalu.

"Bukan perkara baru, ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), sebagainya, semua itu telah dibangkitkan sebelum ini, dan rakyat telah faham ISA digunakan untuk keselamatan, dalam sektor ekonomi, pendidikan dan lainlain, rakyat faham langkah yang diambil kerajaan," katanya.

Beliau berkata keadaan ekonomi negara masih lagi stabil walaupun beberapa negara jiran telah mula mengalami kesan krisis ekonomi dunia, yang membuktikan kerajaan mempunyai dasar yang pragmatik dalam mengurus kewangan negara.

"Pengalaman kita atasi krisis kewangan Asia tahun 1997 hingga 1998 memberi kita pengalaman untuk kita urus tadbir perbankan dan kewangan negara dengan baik, sebab itulah sistem kewangan perbankan negara tidak terjejas," katanya.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain