suria

Israel patut dikenakan sekatan, paksa keluar Gaza - Abdullah

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu Israel dikenakan sekatan antarabangsa kerana perbuatan tidak bermoralnya menyerang dengan kejam penduduk Gaza yang menyebabkan ramai yang terbunuh.

"Masyarakat antarabangsa perlu memasukkan pencabulan moral yang asas dalam senarai membolehkan sekatan antarabangsa dikenakan.

"Apa yang dimaksudkan ialah kita harus memindahkan apa yang dianggap moral itu daripada berada di pinggir amalan antarabangsa hingga menjadi tumpuan," kata Perdana Menteri ketika merasmikan kampus baru Institut Diplomasi dan Hubungan antarabangsa (IDFR) di sini hari ini.

Katanya tindakan Israel menggunakan kekuatan tentera yang jauh berlebihan terhadap penduduk Gaza adalah satu perbuatan yang amat tidak bermoral.

"Saya tahu bahawa pada zaman ini, langkah mengaitkan moral dengan dasar luar agak ketinggalan. Tetapi saya amat yakin bahawa etika dan sikap rasional mempunyai tempat dalam dasar luar sesebuah negara.

"Mana-mana negara yang terus memperjuangkan kepentingannya yang sempit tanpa mengambil kira hak negara lain, akhirnya akan rugi, tanpa rakan dan pakatan di saat yang memerlukan," kata Perdana Menteri.

Abdullah berkata pendekatan dasar luar Malaysia adalah pragmatik dan berasaskan prinsip moral dan etika.

Perdana Menteri juga mencadangkan pembentukan satu forum atau majlis mengenai hubungan luar dan diplomasi yang bebas dan khusus bagi menyediakan sokongan dan bantuan dalam meningkatkan kefahaman negara mengenai dunia.

Abdullah berkata badan itu mampu merangsang pemikiran inovatif mengenai isu dan pendekatan dasar luar bagi menyokong usaha kerajaan mendapatkan keadilan antarabangsa bagi keamanan dan kemakmuran semua negara.

Apabila perlu, anggota majlis itu boleh dilantik sebagai wakil khas negara bagi misi tertentu, katanya.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata sebarang resolusi oleh Perhimpunan Agung Khas Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dalam sidang khasnya esok (kirakira 5.30 pagi waktu Malaysia) di New York perlu memastikan Israel dipaksa keluar dari bumi Gaza.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha Agung PBB Ban Kimoon kerana mengadakan sesi itu yang disarankan oleh banyak negara termasuk Malaysia, beliau berkata Amerika Syarikat tidak harus menghalang apa-apa usul yang bakal menyentuh Israel yang telah menyerang Semenanjung Gaza sejak 27 Dis lepas.

"Kita telah cadangkannya perhimpunan)...Jadi biasanya Malaysia akan terlibat (berkaitan resolusi)," katanya kepada pemberita apabila ditanya mengenai perhimpunan khas itu yang telah disentuh oleh Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim dalam ucapannya dalam majlis perasmian Institut Diplomasi dan Hubungan Antarabangsa (IDRF) di sini hari ini yang dirasmikan oleh Abdullah.

Abdullah berkata kalau diluluskan usul mengenai gencatan senjata, maka perlu dipastikan Israel berundur dari wilayah Gaza dan bukan hanya mensyaratkan pihak Hamas menghentikan serangan roket terhadap Israel seperti yang didakwa oleh Tel Aviv sebagai punca serangan balasnya di Gaza yang setakat ini mengorbankan lebih 700 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 3,100 orang.

"Israel sendiri mesti keluar dari bumi Gaza dan dengan itu baru gencatan senjata dapat dijayakan," kata Abdullah.

Abdullah berkata beliau belum melihat apa resolusi yang akan dibentangkan nanti, tetapi berkata sikap Amerika Syarikat juga penting dalam kejayaan penyelesaian kepada krisis di Gaza kerana biasanya Tel Aviv menunggu apa yang Washington lakukan atau bertindak dalam perkara yang menyentuh negara itu yang membabitkan isu seperti itu.

"Kalau Amerika bagi laluan macam Bush (Presiden George W.Bush) cakap...dia (Israel) mula serang. Dalam hal ini peranan Amerika Syarikat amat penting. Kita harap Amerika tidak menghalang usulusul seperti yang dikehendaki oleh kerajaan-kerajaan di dunia," katanya.

Abdullah berkata Kuala Lumpur juga tidak mahu melihat Palestin terus berpecah dengan Semenanjung Gaza dan Tebing Barat di dua pihak yang berlainan.

Katanya Malaysia juga berpegang kuat kepada penyelesaian soal Palestin berdasarkan penyelesaian dua negara (Israel dan Palestin) yang mempunyai sempadannya masingmasing serta diiktiraf masyarakat antarabangsa.

Perdana Menteri juga berkata Tabung Bantuan Kemanusiaan untuk Palestin dilancarkan semula mulai hari ini dan meminta semua lapisan rakyat Malaysia menyumbang seperti yang pernah dibuat di masamasa lalu.

"Tanpa kira agama atau bangsa. Sumbangan ikut kemampuan dan apa juga sumbangan akan dikecualikan daripada cukai," katanya.

Mengenai Sidang Parlimen Khas mengenai Palestin, Isnin ini, Abdullah berkata beliau akan memulakannya dengan membuat ucapan dan disokong oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim juga akan membuat ucapan dan penggulungan oleh Rais.

Sementara itu, Rais berkata persetujuan untuk mengadakan perhimpunan khas itu menunjukkan kejayaan diplomasi Malaysia berikutan surat yang dihantar oleh Abdullah kepada Ban Kimoon dan juga kepada pemimpin negara lain.

"Surat yang dikirim oleh Perdana Menteri (kepada Setiausaha Agung PBB) berhasil. Sekarang PBB setuju adakan sesi itu tetapi ia (PBB) menggerakkan semula sesi yang yang pernah berlangsung dulu berkaitan dengan Resolusi 377. Jadi tidak ada banyak bezanya (dengan permintaan asal Malaysia untuk sidang tergempar bendung keganasan Israel)," katanya.

Rais berkata apa yang penting adalah isi kandungan resolusi yang akan dibentangkan nanti bagi mencerminkan desakan masyarakat antarabangsa untuk membendung keganasan dan kekejaman Israel daripada berterusan.

Rais berharap Wakil Tetap Malaysia ke PBB Datuk Hamidon Ali akan memastikan beberapa perkara penting seperti gencatan senjata, sistem pemantauan supaya Israel berundur dari Gaza serta bantuan kemanusiaan dimasukkan dalam resolusi yang mungkin dibentangkan nanti.

Menurutnya Resolusi 377 adalah berkaitan dengan memberi kuasa kepada Perhimpunan Agung PBB untuk bersidang, membincang serta memutuskan mengenai kedaulatan Palestin dan "sekarang ada pindaan sedikit yang melibatkan Gaza".

Katanya dalam perhimpunan khas itu nanti, Amerika Syarikat tidak boleh menolak resolusi yang dibentangkan sepertimana yang boleh dilakukan dalam Majlis Keselamatan PBB.

Terdahulu dalam majlis perasmian IDFR, Rais membacakan surat Hamidon mengenai persetujuan mengadakan perhimpunan khas itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain