suria

Hubungan kaum dalam BN lebih jujur berbanding pembangkang, kata Ahmad Shabery

KUALA TERENGGANU: Hubungan antara kaum di bawah kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) lebih jujur berbanding pentadiran pembangkang, kata Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Malah, katanya, parti pembangkang tidak berlaku jujur dalam pakatannya sendiri seperti yang dilihat di negerinegeri yang dikuasai mereka.

Sebagai contoh, beliau berkata, PAS tidak pernah meletakkan calon daripada kaum Cina di Terengganu bagi menjaga kepentingan kaum berkenaan walaupun sewaktu parti itu memerintah negeri itu sebelum ini.

"Waktu Pas memerintah dulu, mereka pernah janji yang mereka nak pinda perlembagaan supaya membenarkan beberapa ADUN (Anggota Dewan Undangan Negeri) (kaum Cina) dilantik tetapi mereka tidak pernah berbuat demikian kerana bila mereka berkuasa, mereka tidak pedulikan tentang kepentingan kaum Cina di negeri Terengganu," katanya di sini.

Ahmad Shabery berkata keadaan yang sama turut berlaku di Pulau Pinang sekarang apabila ADUN dari PAS yang memenangi pilihan raya umum lepas tidak diberi peluang oleh DAP menjawat jawatan Anggota Exco Kerajaan Negeri.

"Jadi hubungan mereka sebenarnya tidak pernah jujur...penuh dengan rasa curiga, penuh dengan rasa kesangsian antara satu sama lain," katanya.

Berbeza dengan BN, Ahmad Shabery berkata, kerajaan sentiasa mementingkan kesepakatan dan kepentingan setiap kaum dalam membuat sebarang keputusan.

Katanya ia dapat dilihat di kawasan DUN Bandar dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu apabila wakil MCA diberi ruang untuk bertanding di situ walaupun masyarakat Cina hanya meliputi 40 hingga 45 peratus daripada penduduknya.

"Setiap kali menang, mereka akan dilantik menjadi Exco supaya suara mereka didengar," katanya.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain