suria

Terengganu sedia dana RM1 juta kepada syarikat bas

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu akan menyediakan dana sebanyak RM1 juta kepada setiap syarikat bas yang beroperasi di negeri ini bagi membeli bas baru untuk memastikan perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih selesa kepada rakyat.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM500,000 akan diberikan dalam bentuk geran manakala bakinya sebagai modal yang perlu dibayar.

"Kita akan teliti berapa jumlah syarikat bas yang beroperasi di negeri ini sebelum meluluskan dana berkenaan kepada mereka," katanya selepas menutup seminar ke arah penubuhan Yayasan Masjid Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim.

Seramai 2,500 imam dan bilal dari 483 masjid di seluruh Terengganu menghadiri majlis itu, yang diadakan serentak dengan penyampaian imbuhan bulanan kepada mereka sebanyak RM650 setiap seorang.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad berkata kerajaan negeri akan menyerahkan tambahan empat buah bas kepada syarikat bas Cas Ligas Sdn Bhd yang beroperasi secara percuma di bandar raya ini.

"Dulu syarikat ini beroperasi dalam kawasan bandar ini dengan hanya dua buah bas. Tetapi kini, kita tambah menjadi enam buah dan akan beroperasi sehingga Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) secara percuma," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain