PKR pinda perlembagaan, hadkan tempoh pegang jawatan - Semasa | mStar

PKR pinda perlembagaan, hadkan tempoh pegang jawatan

KUALA TERENGGANU: Parti Keadilan Rakyat (PKR), antara parti yang masih muda, sedang mengkaji untuk menetapkan tempoh had memegang jawatan-jawatan utama dalam parti itu.

Ia antara beberapa cadangan utama yang sedang dikaji, sebahagian daripada proses meminda perlembagaan parti tersebut.

Ketika mengesahkan perkara itu, Pengarah Strategi Nasional PKR, Saifuddin Nasution berkata, mengambil kira perkembangan senario politik tanah air, PKR akan mengkaji semula tempoh bagi seseorang memegang jawatan parti.

Kata beliau, tempoh pemegang jawatan itu melibatkan jawatan di semua peringkat.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut pindaan yang sedang ditimbangkan partinya.

"Buat masa ini, saya boleh kata, kami sedang mengkaji melakukan pindaan fundamental pada perlembagaan PKR. Itu saya boleh buat masa sekarang," kata beliau kepada mStar ketika ditemui di sini, semalam.

Jika aspek itu menjadi kenyataan, PKR akan tersenarai antara beberapa parti politik yang mengambil langkah sedemikian. MCA telah pun berbuat demikian.

Jawatankuasa teknikal PKR telah mengadakan mesyuarat khas di ibu negara semalam, kata beliau yang berada di sini sempena pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Tambah beliau, jawatankuasa itu sedang meneliti kesemua syor yang telah dikemukakan untuk memperkemaskan pindaan perlembagaan PKR.

Katanya, syor susulan jawatankuasa teknikal akan diteliti oleh Biro Politik yang dijadual bermesyuarat awal bulan depan.

Kata beliau, cadangan pindaan akan dibahaskan dalam Kongres Khas PKR hujung bulan depan.

Ini merupakan pindaaan kedua besar melibatkan PKR yang ditubuhkan sedekad lalu.

Sebelum ini, pindaan perlembagaan PKR melibatkan penggabungan Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia yang membawa kepada nama PKR.

Saifuddin juga berkata, pindaan kali ini dirasakan perlu seiring dengan perubahan senario politik sejak pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac lalu.

Perkara tersebut turut disahkan kepada mStar Online oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim selaku Pengerusi PKR negeri itu.

Katanya, dengan mengambil kira perkembangan senario politik semasa, PKR perlu meminda perlembagaannya.

"Ia melibatkan perubahan struktur parti di pelbagai peringkat," kata beliau sambil menolak andaian bahawa ia berkaitan dengan usaha membawa Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden PKR.

Sebagai contoh katanya, PKR perlu meneliti jumlah keanggotaan dalam sesebuah cawangan.

Kata beliau, PKR juga perlu mengambil kira kesan dan implikasi dengan wujudnya kerjasama dalam Pakatan Rakyat, yang ditubuhkan selepas pilihan raya umum ke-12.

"Kita memikirkan pendekatan-pendekatan yang sesuai apabila berhadapan dengan kesan dan implikasi ekoran kerjasama yang wujud melibatkan parti-parti komponen dalam Pakatan Rakyat," jelas beliau.

Dulu perkara ini tidak timbul tetapi sekarang dirasakan perlu bagi memantapkan kedudukan PKR, kata beliau lagi.

Pakatan Rakyat terdiri daripada PKR, PAS dan DAP.

Sejak 8 Mac lalu, Pakatan Rakyat memerintah lima negeri iaitu Selangor, Kelantan, Pulau Pinang, Perak dan Kedah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

default image

CPA Australia platform berkualiti, pantas capai kelayakan perakaunan diiktiraf global

JIKA anda mempunyai kelayakan yang sewajarnya dalam industri perakaunan, perbankan dan kewangan, ia boleh memberikan prospek kerja dan kepelbagaian projek kepada anda.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

Artikel Lain