suria

Isu Terminal Bas Klang akan dibincang Jumaat ini.

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor akan mengadakan satu perbincangan secara terbuka, Jumaat ini, dengan semua pihak terbabit berhubung isu pemindahan operasi pengangkutan awam dari Bandar Klang ke Terminal Bas Klang Sentral.

Menteri Besarnya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata antara yang akan hadir ialah wakil peniaga dan pengusaha pengangkutan awam, Anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan terlibat, anggota jawatankuasa khas pemindahan Majlis Perbandaran Klang (MPK), pemaju Terminal Bas Klang Sentral, NPO Development Sdn Bhd dan Nadi Corp Sdn Bhd, iaitu operator yang telah dilantik oleh pemaju.

"Sebelum ini kerajaan negeri telah pun mengarahkan pihak MPK untuk selesaikan masalah yang timbul, namun masih ramai yang suarakan rasa tidak puas hati mereka. Justeru kerajaan negeri buat keputusan untuk adakan perbincangan terbuka di antara semua yang terlibat dalam hal ini pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTEs), Jumaat ini.

"Idea mengadakan stesen bas ialah untuk kurangkan kesesakan tapi hasil pembinaan (terminal bas baru) menyebabkan banyak mereka yang terlibat terpaksa menerima kesan.

Sebab itu kita nak tahu betapa seriusnya perkara itu, juga untuk perbaiki keadaan dan selesaikan masalah utama iaitu kesesakan trafik di Klang," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Ditanya sama ada isu itu boleh diselesaikan dengan menghentikan operasi di Terminal Bas Klang Sentral, Abdul Khalid berkata: "Kita tidak boleh berhentikan operasi kerana terdapat permintaan untuk keduadua pihak, permintaan untuk stesen bas yang lama dan juga untuk stesen bas yang baru. Sebab itu kita kena dengar daripada keduadua pihak."

Mengenai pergeseran antara ADUN Sungai Pinang, Teng Chang Khim dengan dua Anggota Parlimen, S.Manikavasagam (Kapar) dan Charles Santiago (Klang) berhubung isu pemindahan stesen bas itu, beliau berkata mereka akan diberi penerangan sepenuhnya berhubung operasi stesen bas terbabit, Jumaat ini.

"(Perselisihan pendapat berlaku) kerana saya rasa mereka tidak ketahui keadaan sepenuhnya dan boleh jadi mereka tidak lihat perjanjian yang telah dibuat (berhubung operasi stesen bas) dan tidak tahu siapa yang ketuai operasi Terminal Bas Klang Sentral.

"Operasi itu bukan lagi di bawah MPK tetapi ia sudah diswastakan sejak 30 tahun lalu. Saya akan kemukakan kepada mereka tentang perjanjian itu Jumaat ini," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain