suria

Fong kekal anggota Parlimen Bukit Bintang

PUTRAJAYA: Wakil DAP Fong Kui Lun kekal sebagai Anggota Parlimen Bukit Bintang setelah Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan calon Barisan Nasional Datuk Dr Lee Chong Meng menarik balik rayuannya bagi mencabar keputusan pilihan raya umum 8 Mac lepas.

Panel tiga hakim terdiri Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Augustine Paul dan Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin membuat keputusan itu setelah membenarkan permohonan Lee untuk menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak petisyennya Julai lepas.

Pada 25 April lalu, Lee memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa pilihan raya bagi kawasan itu sebagai batal dan tidak sah.

Beliau juga menuntut Fong, yang menang dengan majoriti 14,277 undi setelah memperoleh 26,811 undi, tidak dipilih dengan sewajarnya pada pilihan raya itu.

Bagaimanapun petisyen itu ditolak Mahkamah Tinggi pada 11 Julai setelah mendapati Lee gagal mematuhi keperluan Seksyen 32(c) Akta

Kesalahan-kesalahan Pilihan Raya 1954 yang menghendaki beliau membekalkan faktafakta penting berhubung dakwaan amalan rasuah oleh calon DAP itu semasa hari pengundian.

Di luar mahkamah, Fong memberitahu pemberita beliau amat lega terhadap keputusan itu dan berkata kemenangannya dalam pilihan raya lalu adalah keputusan pengundi yang telah mengundinya dengan sah.

Lee diwakili peguam Wan Azmir Wan Majid manakala Karpal Singh bertindak bagi Fong. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain