suria

Asean sokong sidang tergembar PBB mengenai Israel

PUTRAJAYA: Gesaan Malaysia supaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan sidang tergempar bagi membincangkan serangan Israel di Semenanjung Gaza mendapat reaksi positif apabila ia turut disokong oleh Asean dan Indonesia.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, beliau telah pun menerima maklum balas daripada Setiausaha Agung Asean Dr Surin Pitsuwan dan Menteri Luar Indonesia Dr Hassan Wirajuda semalam, yang turut komited bagi menghentikan kekejaman tersebut.

"Ini merupakan petanda-petanda yang menunjukkan bahawa pendirian Malaysia yang cepat bertindak dan mengemukakan pandangan mengenai isu ini dapat diterima oleh sebahagian besar pihak berkaitan," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan kementerian di sini, hari ini. Isnin lepas, Rais berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menghubungi Setiausaha Agung PBB Ban Ki Moon dan Presiden Persidangan PBB Miguel d'Escoto Brockmann, meminta mereka mengadakan sidang khas itu selepas Majlis Keselamatan PBB gagal mencapai keputusan untuk menghentikan serangan Israel terhadap penduduk Palestin.

Katanya, Abdullah juga akan menghubungi semua ketua kerajaan anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Asean dan beberapa pertubuhan antarabangsa yang lain untuk mendesak supaya sidang khas itu diadakan secepat mungkin.

Selain itu, Wisma Putra juga telah mengarahkan agar wakil tetap Malaysia ke PBb, Datuk Hamidon Ali supaya melobi beberapa pihak untuk mendapatkan sokongan agar sidang khas itu dapat diadakan. Sementara itu, Rais berkata, beliau juga berharap bakal Presiden Amerika Syarikat Barack Obama yang akan memulakan tugasnya 20 Jan ini, akan menggunakan sifat kemanusiaan dan pengaruhnya untuk menghentikan kekejaman itu, serta tidak menyebelahi Israel dalam apa-apa tindakan atau rundingan.

"Setakat ini kita belum lagi dapat melihat sebarang komen beliau yang membawa kepada pemberhentian tindakan serangan tersebut, dan beliau cuma menggunakan istilah yang umum sahaja.

"Jadi kita akan tunggu apa yang akan beliau lakukan, dan kita kebanyakannya yakin beliau tidak seperti George W.Bush," katanya.

Obama semalam dilaporkan buat pertama kalinya menyuarakan kebimbangan mengenai perkara itu, namun berkata beliau tidak akan campur tangan selagi belum memegang tampuk pemerintahan secara rasmi. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain