KUALA LUMPUR: Kes saman penerbit filem Wan Noraini Wan Noh terhadap tiga defendan berhubung drama Tin Gei Bin dan Mahligai Gading, yang disiarkan di RTM, akan disebut semula pada 7 April ini selepas keduadua pihak gagal mencapai persetujuan penyelesaian kes saman berjumlah RM10 juta itu.Hakim Datuk Ramly Ali menetapkan tarikh itu selepas peguam Mohd Nashir Hussin yang mewakili Wan Noraini, memberitahu Mahkamah bahawa Jabatan Peguam Negara tidak bersetuju dengan kertas cadangan berhubung penyelesaian kes itu yang dikemukakan oleh pihak plaintif (Wan Noraini). Sehubungan itu, Hakim Ramly menetapkan tarikh tersebut untuk sebutan bagi menentukan tarikh perbicaraan kes berkenaan.Pada prosiding yang lepas, Mohd Nashir memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya telah mengemukakan kertas cadangan berhubung penyelesaian kes saman itu untuk dipertimbangkan Jabatan Peguam Negara yang mewakili para defendan.Pada 2005, Wan Noraini menfailkan dua writ saman mengikut undangundang hak cipta, di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, Bahagian Dagang dan dalam setiap writ saman itu, Wan Noraini dan syarikatnya Teknik Suria Sdn Bhd menuntut ganti rugi RM5 juta.Wan Noraini menamakan tiga defendan Ketua Pengarah Penyiaran, Ketua Pengarah Filem Negara dan Menteri Penerangan dalam tuntutannya berhubung drama Tin Gei Bin manakala dalam tuntutan bagi drama Mahligai Gading, beliau menamakan Ketua Pengarah Penyiaran dan Menteri Penerangan sebagai defendan.Beliau memfailkan saman itu atas dakwaan bahawa RTM telah menyiarkan drama Tin Gei Bin dan Mahligai Gading yang ditiru, diceduk daripada karya asalnya bertajuk Lingkaran Emas.Sementara itu, pada 1 Julai 2005, RTM menafikan dua drama yang disiarkannya, Tin Gei Bin dan Mahligai Gading, ditiru dan diceduk daripada karya Lingkaran Emas tetapi dihasilkan oleh sebuah panel penulis skrip RTM seramai tujuh orang dan mereka tidak pernah berurusan dengan Syarikat Teknik Suria, syarikat pengeluar drama Lingkaran Emas.Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Abd Rahman Hamid berkata dakwaan Wan Noraini mengenai perkara itu adalah tidak berasas sama sekali.BERNAMA