suria

Isu Manikavasagam: MB Selangor serah pada Anwar

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyerahkan isu bekas timbalannya, S. Manikavasagam (gambar) kepada Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dicari penyelesaian.

"Bagi saya ini adalah isu yang sudah selesai. Manikavasagam selepas ini akan mengadakan pertemuan dengan Anwar dan beliau akan berbincang untuk menyelesaikan perkara-perkara yang dibangkitkan," kata Khalid yang juga Menteri Besar Selangor ketika ditemui di sini.

Beliau berkata, adalah wajar isu Manikavasagam dibincangkan dan diselesaikan di peringkat kepimpinan Anwar selaku Ketua Umum parti itu.

"Lagipun dalam isu ini saya merupakan pihak yang berkepentingan. Oleh itu, adalah wajar saya serahkan kepada Anwar untuk berbincang," kata beliau ketika ditemui pada majlis penamaan calon pilihan raya kecil Kuala Terengganu di sini hari ini.

Manikavasagam, yang kini menghadiri berada di India, dijangka mengadakan pertemuan dengan Anwar selepas pertengahan bulan ini.

Pada 31 Disember lalu, Manikavasagam yang juga Ahli Parlimen Kapar meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan PKR Selangor berkuat kuasa serta-merta.

Manikavasagam mendakwa beliau kecewa dengan kepimpinan kerajaan negeri Selangor diterajui Khalid.

"Saya merasa kecewa terhadap kerajaan negeri Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat yang diterajui PKR yang tidak menilai jasa-jasa ahli Parlimen yang dipilih rakyat," kata Manikavasagam.

Dalam pada itu, dalam surat peletakan jawatan yang dihantar kepada Khalid beliau berkata: "Memandangkan kerajaan negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat diterajui PKR tidak menilai pandangan ahli Parlimen yang dipilih rakyat, saya dengan ini memutuskan untuk meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi PKR Selangor."

Sambil mengakui wujud beberapa isu termasuk soal peruntukan wakil rakyat, Khalid berkata, seharusnya Manikavasagam telah menulis surat kepada Anwar jika berhadapan dengan isu.

Mengenai pengganti Manikavasagam di peringkat Selangor, Khalid memberitahu, pihaknya sudah ada beberapa calon daripada pemimpin sedia ada dalam PKR.

"Kami ada beberapa nama seperti R. Sivarasa (Ahli Parlimen Subang) dan Dr. Xavier A. Jeyakumar (Exco Kerajaan Selangor).

"Tetapi Sivarasa juga merupakan Naib Presiden (peringkat pusat). Malah, kita juga mempertimbangkan beberapa nama lain," katanya.

Khalid menambah, nama calon berkenaan akan diputuskan dalam mesyuarat bulanan PKR bulan depan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain