suria

Dadah bernilai RM1 juta dirampas

PULAU PINANG: Polis menahan seorang lelaki dan merampas dua jenis dadah bernilai RM1 juta dalam serbuan di sebuah rumah yang dijadikan makmal pemprosesan dadah di Relau di sini, Ahad lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob berkata lelaki berusia 30an itu ditahan di Georgetown di sini kira-kira pukul 2.45 petang hasil risikan yang dijalankan sejak beberapa bulan lepas.

"Susulan daripada tangkapan itu sekumpulan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang menyerbu rumah berkenaan dan merampas dua jenis dadah dan peralatan untuk memproses dadah," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata dalam serbuan itu, polis merampas dadah jenis syabu seberat 3 kilogram dan serbuk putih dadah jenis ecstacy seberat 1.5 kilogram yang kesemuanya bernilai kira-kira RM1 juta.

Siasatan awal mendapati lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan itu menjadikan rumah sewa berkenaan sebagai setor dan makmal pemprosesan dadah sebelum mengedarkannya di sekitar negeri ini, katanya.

Ayub berkata polis percaya sindiket itu aktif mengedar dadah sejak beberapa bulan lepas dan operasi bersepadu dijalankan bagi mengesan saki baki anggota sindiket itu.

"Kami juga sedang menyiasat sama ada lelaki yang ditahan itu mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah yang lain," katanya.

Beliau berkata lelaki yang mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah itu kini direman sehingga 10 Jan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, beliau berkata sepanjang tahun lepas, polis Pulau Pinang menahan 12,230 orang yang terlibat dalam pelbagai kes berkaitan dadah dan merampas pelbagai jenis barang terlarang itu bernilai kira-kira RM8.7 juta.

"Sepanjang tahun lepas juga, kami berjaya membongkar lima kes berkaitan makmal pemprosesan dadah haram di negeri ini dan kita juga turut menyita harta milik pengedar dadah bernilai kira-kira RM5.9 juta," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain