suria

Perompak menyamar sebelum rompak kedai emas

PULAU PINANG: Dua lelaki warganegara asing menyamar sebagai pelanggan untuk membeli barang kemas dua hari lepas sebelum bertindak merompak kedai yang terletak di tingkat dua bangunan Komtar itu di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, SAC II Wan Abdullah Tunku Said berkata dua lelaki berusia lingkungan 20an itu berjaya melarikan lima dulang berisi barangan kemas yang dianggarkan bernilai RM200,000.

"Kejadian itu dipercayai dirancang oleh dua lelaki berkenaan memandangkan mereka pernah ke kedai itu dan menyamar sebagai pelanggan untuk membeli barangan kemas dua hari lepas," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.

Menurut pemilik kedai itu, kedua-dua lelaki berkenaan memakai baju warna hitam dan berseluar panjang datang semula ke kedai emas itu hari ini pada kirakira pukul 12.55 tengah hari dan menunjukkan minat untuk membeli barangan kemas yang dilihat mereka dua hari lepas.

"Sebaik menyedari tiada pelanggan lain, mereka mengeluarkan pistol dan mengacukannya ke arah pemilik kedai dan isterinya yang berusia lingkungan 60an itu. "Bagaimanapun pemilik kedai itu yang pada mulanya melawan dua lelaki itu dan enggan melepaskan dulang berisi barangan kemas ke dalam beg yang dibawa terpaksa mengalah selepas ditolak sehingga jatuh oleh salah seorang lelaki berkenaan," katanya.

Wan Abdullah berkata mereka yang tidak bertopeng itu dipercayai menggunakan pistol palsu untuk menakutkan pemilik kedai emas yang telah menjalankan perniagaan tersebut hampir 10 tahun.

"Berdasarkan keterangan mangsa (pemilik), kedengaran bunyi tembakan yang dipercayai dari pistol yang digunakan oleh salah seorang perompak.

"Mungkin disebabkan ingin menakutkan pemilik, mereka telah melepaskan tembakan daripada pistol palsu yang mereka gunakan dan kemudiannya melarikan diri menggunakan motosikal", katanya.

Katanya siasatan lanjut dijalankan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 397 Kanun Keseksaan.BERNAMA

Artikel Lain