suria

Malaysia sumbang US$1 juta bantu Palestin

PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah meluluskan bantuan segera US$1 daripada kerajaan Malaysia kepada penduduk Palestin.

Wang itu akan disalurkan menerusi Mercy Malaysia untuk menyediakan bantuan bekalan, kata Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini.

Kementerian Luar telah menubuhkan Tabung Untuk Rakyat Palestin bagi mengutip dan menyelaras bantuan daripada rakyat Malaysia.

Abdullah berkata, Malaysia akan terus memberi bantuan kemanusiaan mengikut kemampuannya kepada penduduk Palestin di Semenanjung Gaza, yang kini menjadi sasaran serangan Israel menyebabkan lebih 500 orang terbunuh sejak seminggu lepas.

Perdana Menteri berkata, beliau akan menulis kepada pelbagai pemimpin dunia bagi meminta mereka menggunakan kedudukan dan pengaruh masing-masing supaya mendesak Israel menghentikan serangan itu dan bersetuju mengadakan gencatan senjata.

Abdullah berkata, pendirian Malaysia ialah keamanan dan kestabilan yang berterusan di Gaza akan hanya dapat dicapai menerusi rundingan secara damai.

Katanya, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bertanggungjawab menghentikan kekejaman oleh Israel itu dan ia perlu mendesak supaya gencatan senjata dikuatkuasakan.

"Kegagalan Majlis Keselamatan PBB melakukannya akan menyebabkan krisis menjadi lebih runcing, menjejaskan perpaduan Palestin dan mengancam keamanan dan keselamatan di Timur Tengah," katanya.

Abdullah menyifatkan serangan darat oleh Israel di Gaza sebagai satu tindakan perang yang tidak boleh diterima oleh masyarakat antarabangsa.

"Saya dapati Majlis Keselamatan PBB gagal bertindak dalam soal yang kritikal ini. Saya menyeru supaya Perhimpunan Agung PBB mengadakan sidang tergempar bagi menerima satu usul perdamaian," kata Perdana Menteri.

Katanya, Israel sedang menjalankan satu bentuk hukuman sistematik terhadap penduduk Gaza tanpa mempedulikan nasib orang yang tidak berdosa atau kemusnahan harta mereka. Tindakan tidak bermoral ini jelas melanggar undangundang antarabangsa dan perlu dikutuk, kata Perdana Menteri.

"Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya ingin melahirkan rasa bimbang yang amat sangat terhadap serangan berterusan oleh Israel ini yang tidak mengambil kira nyawa manusia atau pendapat dunia," katanya. BERNAMA

Artikel Lain