suria

Lagi tuduhan tipu beli kereta terhadap Datuk Kabi

BALIK PULAU: Seorang lelaki yang menggelarkan dirinya 'Datuk Kabi' mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Balik Pulau hari ini terhadap dua lagi tuduhan menipu dalam urusan jual beli kereta pada 2005 dan 2006.

Kamaleshwaran Chitravelu, 29, pada Jumaat lepas turut dihadapkan ke mahkamah yang sama kerana menghadapi tuduhan serupa. Dalam pertuduhan pertama hari ini, dia didakwa menipu seorang wanita C. Rethnadevi bagi pembelian sebuah Proton Perdana bernilai RM62,000 dengan menyerahkan cek bernilai RM57,000 yang tidak sah, di Restoran Pappadam di Sungai Nibong pada 6 Julai 2005.

Bagi tuduhan kedua, Kamaleshwaran didakwa melakukan kesalahan di tempat yang sama pada 10 Feb 2006, melibatkan penipuan cek bernilai RM10,000 bagi bayaran ansuran sebuah kereta BMW 320i, kepada seorang jurujual, Peh Eng Hiam.

Majistret Norhayati Johar membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 10 Feb ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum itu, Pegawai Pendakwa Cif Inspektor Md Saad Hassan memohon supaya mahkamah tidak membenarkan Kamaleshwaran diikat jamin kerana dia pernah melarikan diri dalam jaminan mahkamah bagi lima kes yang serupa sebelum ini.

Katanya, tertuduh juga mempunyai 10 kes jenayah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan lapan kes jenayah di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor.

Peguam bela S.Narasinham memohon agar mahkamah membenarkan ikat jamin kerana yakin Kamaleshwaran akan berkelakuan baik dan hadir untuk perbicaraan di mahkamah.

Dalam membenarkan ikan jamin itu, Majistret Norhayati mengenakan syarat tambahan agar Kamaleshwaran melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran kediaman tertuduh di Kuala Lumpur. BERNAMA

Artikel Lain