suria

Kemaman dan Setiau kembali dilanda banjir

KUALA TERENGGANU: Daerah Kemaman dan Setiu kembali dilanda banjir apabila beberapa buah kampung di kedua-dua daerah berkenaan dinaiki air malam tadi menyebabkan seramai 471 orang terpaksa dipindahkan sehinggga pukul 9 pagi ini.

"Setakat ini seramai 248 orang dipindahkan di Kemaman dan 223 orang dipindahkan di Setiu," kata jurucakap Bilik Gerakan Banjir Kontinjen Polis Negeri Terengganu ketika dihubungi di sini hari ini.

Jurucakap itu berkata di Kemaman, tiga pusat pemindahan telah dibuka setakat ini iaitu di Dewan Orang Ramai Kampung Teladas, Sekolah Rendah Kebangsaan Air Putih dan Masjid Kampung Baru 16.

Terdapat juga di kalangan mangsa berkenaan berpindah ke rumah saudara mara mereka, katanya.

Di Setiu pula, tiga pusat pemindahan telah dibuka iaitu di Masjid Permaisuri, Surau Gazibo Permaisuri dan Balairaya Kampung Tasik.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPs) Negeri melaporkan keseluruhan paras air sungai utama di Terengganu telah meningkat pada pukul 9 pagi ini.

Katanya paras air di Sungai Nerus di Kampung Bukit mencapai paras bahaya iaitu 12.96 meter, kira-kira 0.96 meter melebihi paras amaran.

Beberapa batang sungai yang lain pula berada dalam keadaan amaran iaitu Sungai Dungun di Pasir Raja mancatatkan 36.94 meter (amaran 36.5 meter), Jambatan Jerangau 12.16 meter (amaran 11.7 meter), Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih setinggi 14.74 meter (amaran 14 meter) dan Jambatan Bangho 18.01 meter (amaran 18 meter).

Jurucakap itu berkata Sungai Besut, Sungai Terengganu dan Sungai Setiu, masing-masing berada pada tahap waspada. BERNAMA

Artikel Lain