suria

Peletakan jawatan Manikavasagam titik mula perpecahan Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR: Peletakan jawatan Anggota Parlimen Kapar, S. Manikavasagam sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor semalam disifatkan sebagai satu permulaan kepada perpecahan parti itu, kata bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr, Mohamed Khir Toyo.

"Saya katakan perkara ini permulaan kerana akan berlaku lebih besar pada masa akan datang kerana janji yang mereka (kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor) nyatakan kepada kaum India (di negeri itu) tidak dapat dijayakan," katanya di sini hari ini.

Sebelum itu, beliau menyampaikan hadiah kepada pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2008 dan sumbangan kelengkapan persekolahan sesi 2009 anjuran bersama Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Cheras di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai lapan pelajar yang mendapat keputusan 5A dalam UPSR menerima sijil penghargaan dan wang tunai RM100, manakala 20 pelajar cemerlang PMR menerima sijil penghargaan serta wang tunai RM150, sementara 270 pelajar menerima sumbangan pakaian seragam sekolah, beg dan peralatan lain.

Dr. Mohamd Khir yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno berkata selain kegagalan mereka mengambil alih tampuk kerajaan pusat pada 16 September lepas dengan menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kedua kepada kaum India dan sebagainya, kerajaan Pakatan Rakyat Selangor juga gagal menangani masalah kuil hingga ke hari ini.

"Jadi ia akan merebak dan saya lihat mereka akan bertindak bukan sahaja meletakkan jawatan malah meninggalkan parti mereka," katanya.

Beliau yang diminta mengulas mengenai permintaan kaum India yang mahukan jawatan Ketua Kampung diberikan kepada mereka di kawasan yang majoriti penduduknya adalah dari kaum itu berkata ketika Barisan Nasional (BN) memerintah di Selangor, walaupun hanya terdapat 10 keluarga India di sesuatu kawasan, mereka tetap mempunyai wakil dalam Jawatankuasa Kemajuan Kampung.

"Tapi perkara itu tidak berlaku pada hari ini," katanya yang mengaku sedang menyusun strategi untuk mendapatkan kembali Selangor pada pilihan raya akan datang.

Dr Mohamed Khir berkata selain itu sejak kerajaan Pakatan Rakyat berkuasa di Selangor mereka masih belum melaksanakan manifesto pilihan raya mereka seperti menurunkan cukai pintu untuk pemilik rumah sebanyak 20 peratus dan untuk komersil sebanyak 10 peratus terutama dalam keadaan ekonomi pada masa ini.

"Kita dah bagi dia (PR) sembilan bulan, dulu kita ingat dah bagi cukup masa untuk berbulan madu, sekarang dah setahun, jadi kita akan mulakan gerakan mendesak kerajaan Pakatan Rakyat melaksanakan janji mereka," katanya.

Beliau mendakwa terdapat lebih kurang 70 janji dibuat oleh PKR dan setakat ini satupun tidak dilaksanakan.

"Semuanya atas kertas sahaja, umpamanya insurans kepada warga emas dan bantuan masuk universiti," katanya.

PR hanya membuat janji untuk mendapat sokongan dan undi dan bukan untuk dilaksanakan, katanya.

Sementara itu di SHAH ALAM, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhamad Taib melihat kedudukan PR yang dianggotai oleh PAS, DAP dan PKR bagai 'retak menanti belah'.

Beliau berkata Pakatan Rakyat sebenarnya menghadapi perpecahan apabila timbul pertelagahan antara PKR dengan PAS, PAS dengan DAP dan sesama PKR sendiri.

Muhammad yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor berkata sebilangan masyarakat yang dahulunya marahkan BN dan mengundi PKR pada pilihan raya umum Mac tahun lepas, tetapi hari ini mereka merasa kecewa dengan layanan yang diterima daripada kepimpinan PKR.

"Sebenarnya pada hari ini mereka merasa kecewa dengan kepimpinan PKR yang bukan berminat untuk melawat-melawat ke bawah, mereka tak ada masa nak tengok zink (atap zink) terbang, tiada ada masa nak tengok banjir.

"Ini bukan kerja pemimpin dia, pemimpin dia nak duduk (jadi) ahli majlis, hotel-hotel...yang pergi tengok rakyat ini, dia rasa tak payah pergi," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan anggota jawatankuasa bahagian, pemimpin sayap Pemuda, Wanita dan Puteri Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan di sini hari ini.

Bagaimanapun, Muhammad berkata sebaliknya BN memahami masalah rakyat kerana pemimpinnya turun ke bawah untuk menjenguk rakyat dan mengetahui masalah rakyat dan bekerja bagi memajukan negeri ini.

"Landskap kemajuan negara dibina oleh BN, mereka (Pakatan Rakyat) tidak faham yang kita turun ke bawah, kita tahu apa rakyat kehendaki, mereka tak tahu. Dia orang terima negeri yang telah siap, jadi dia orang tak tahu apa sebenarnya nak dibuat," katanya.

Beliau berkata perjuangan BN selama ini berdasarkan rekod sebelumnya berbanding dengan Pakatan Rakyat yang didakwanya suka memanipulasi sesuatu isu bagi meraih sokongan pengundi dan penyokong mereka. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain