suria

NGO: Teng tidak layak ketuai badan transparensi Selangor

KLANG: Sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan menggesa supaya Teng Chang Khim dari DAP digugurkan daripada jawatannya sebagai Pengerusi Kompetensi, Akauntabiliti dan Transparensi (CAT) Selangor ekoran kenyataan-kenyataan beliau berhubung isu setsen bas Klang.

Surat yang ditandatangani 11 pertubuhan bukan kerajaan telah dihantar kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibhraim minggu lalu ekoran kenyataan Teng, yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri terhadap S. Manikavasagam, Charles Santiago dan Dr. Mariah Mahmud bahawa mereka "bertindak sebagai pembangkang."

Manikavasagam, Santiago dan Mariah masing-masing Ahli Parlimen Kapar, Klang dan Kota Raja.

Antara pertubuhan bukan kerajaan yang menandatangani surat itu ialah Persatuan Pengguna Klang, Persatuan Kebajikan Pengguna Selangor, Persatuan Dravidian Malaysia Cawangan Klang, Persatuan Penasihat Pengguna Malaysia dan Makkal Sakti Klang.

Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan itu menambah tiada sebab bagi Teng, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pinang melepaskan rasa marah dan melakukan serangan peribadi terhadap pemimpin-pemimpin itu.

Mereka juga berpendapat, tindakan Teng mempertahankan keputusan Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan menyerang pemimpin-pemimpin berkenaan menunjukkan yang beliau telah gagal merealisasikan matlamat CAT dalam memastikan agensi-agensi kerajaan bertindak dengan kompeten dan telus.

Kata mereka, Teng seharusnya berkecuali dalam isu berkenaaan yang menjejaskan kepentingan pengguna, perniagaan, teksi dan operator bas.

Presiden Persatuan Pengguna Klang, Devdass Anjan berkata, beberapa pertubuhan telah menggesa MPK mendedahkan perjanjian konsesi Terminal Sentral Klang kepada umum.

Beliau mendakwa majlis itu telah mengetepikan beberapa permintaan, sebaliknya meneruskan projek tersebut.

Dalam pada itu, Setiausaha Persatuan Pemilik Teksi dan Kereta Sewa Pantai Selangor dan Klang, Mohd. Aris Mohd. Isa berkata, MPK juga telah gagal melihat masalah-masalah dihadapi oleh ahli persatuannya, antara lain mengurangkan ruang petak kepada 33 daripada 150 sebelum ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain