suria

MB Perak: 2 pemimpin PKR boleh teruskan pemilihan calon ketua kampung

PETALING JAYA: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, pemilihan calon ketua Kampung Baru Gunung Rapat, Ipoh yang dijalankan oleh dua wakil rakyat Parti Keadikan Rakyat (PKR) akan diteruskan sebagaimana dirancang hari ini.

Mohammad berkata, beliau tidak pernah menyatakan beliau terkilan atau marah dengan tindakan Ahli Parlimen Gopeng, Dr. Lee Boon Chye dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Simpang Pulai, Chan Ming Kai meneruskan proses penamaan calon pemilihan ketua kampung tersebut seperti yang dilaporkan media.

"Saya hanya minta laporan berhubung perkara tersebut. Media telah menyalah tafsir apa yang saya katakan.

"Mereka akan meneruskan pemilihan calon ketua kampung baru itu esok kerana itu hak ADUN untuk melaksanakannya," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Isnin lalu, Mohammad Nizar dilaporkan melahirkan rasa terkilan dengan tindakan kedua-dua wakil rakyat PKR itu yang enggan mematuhi larangan kerajaan negeri tidak membenarkan proses penamaan calon bagi pemilihan ketua kampung baru tersebut.

Mohammad Nizar berkata, walaupun pemilihan calon itu akan diteruskan tetapi kuasa lantikan tetap di bawah kerajaan negeri.

"Secara dasarnya, kerajaan negeri tidak membenarkan pemilihan bagi ketua kampung baru tetapi setiap kampung dibenarkan mencadangkan nama calon yang dirasakan sesuai.

"Bagi kes Kampung Baru Gunung Rapat ini nanti, penduduk akan memilih mana-mana calon yang mereka mahukan melalui pemilihan dan nama yang menang itu nanti akan dicadangkan kepada kita sama ada boleh dilantik menjadi ketua (kampung)," katanya.

Mohammad Nizar berkata, jika calon yang dicadangkan itu tidak dipersetujui oleh kerajaan negeri, maka pihaknya boleh melantik orang lain yang dirasakan lebih layak.

Katanya, beliau juga telah menerima laporan mengenai proses penamaan calon bagi Kampung Baru Gunung Rapat yang diadakan Ahad lalu daripada Chan pagi semalam.

"Selain itu, Chan turut menjelaskan kepada saya, Kampung Baru Gunung Rapat ini agak istimewa kerana sebelum ini, ketua kampung mereka adalah terdiri daripada ketua persatuan-persatuan Cina di kawasan itu dan mereka tidak pernah didedahkan dengan pemilihan calon ketua kampung.

"Kampung baru ini tidak sama dengan kampung-kampung Melayu. Jadi nanti kita bimbang kemungkinan timbul salah faham jika lantikan terus dilakukan. Jadi, ini akan dijadikan projek percubaan," katanya.

Ditanya sama ada pihaknya akan mempertimbangkan pemilihan ketua kampung baru diadakan secara pemilihan selepas ini, Mohammad Nizar berkata, perkara itu akan diteliti.

"Setakat ini yang kita tetapkan, pemilihan ketua kampung baru adalah secara lantikan selama dua tahun," katanya.

Jumaat lalu, Mohammad Nizar berkata, ketua kampung baru bagi negeri Perak akan dibuat secara lantikan dan tidak membenarkan ia dijalankan secara pemilihan. Beliau berkata, keputusan yang dibuat oleh exco kerajaan negeri itu adalah ketua kampung baru akan dilantik oleh kerajaan negeri dalam tempoh dua tahun akan datang, berbeza dengan kampung tradisional yang mana pemilihannya telah dibuat sebelum ini.

Sementara itu, Lee ketika dihubungi berkata, beliau telah berjumpa Mohammad Nizar malam kelmarin berhubung isu penamaan calon pemilihan ketua Kampung Baru Gunung Rapat tersebut.

Lee berkata, beliau telah menerangkan kepada Mohammad Nizar bahawa tindakannya dan Chan meneruskan proses penamaan calon pemilihan bagi menentukan calon ketua kampung itu adalah semata-mata untuk memberi peluang kepada penduduk untuk memilih sendiri ketua yang dimahukan mereka.

"Saya memberitahu beliau, apa yang kita lakukan adalah untuk memberi peluang kepada penduduk untuk menyatakan hasrat mereka memilih ketua kampung yang mereka rasakan layak.

"Bagaimanapun, kuasa untuk melantik tetap di tangan Menteri Besar dan kerajaan negeri," katanya.

Lee berkata, Mohammad Nizar menerima rasional tindakannya itu dan membenarkan pemilihan itu diteruskan.

Ditanya sama ada beliau ada berbincang dengan Mohammad Nizar berhubung kemungkinan calon yang dipilih penduduk nanti tidak dipersetujui kerajaan negeri, Lee berkata, hal itu tidak dibincangkan.

"Bagaimanapun, calon-calon yang ada begitu berkaliber jadi saya percaya, tidak akan timbul masalah untuk mendapatkan calon ketua kampung yang baik.

"Bagaimanapun terserah kepada penduduk untuk menentukan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain