suria

Raja Hanipuddin Pemangku Ketua Umno PJ Selatan

SHAH ALAM: Mesyuarat Khas Badan Perhubungan Umno Selangor sebulat suara menyokong penuh pelantikan Raja Datuk Hanipuddin Raja Datuk Nong Chik sebagai Pemangku Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan (PJS) bagi tempoh tiga tahun.

Pengerusinya, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, berkata pelantikan itu dibuat selepas mengambil kira kepimpinan dan pengalaman Datuk Hanipuddin dalam Umno Bahagian PJS.

"Kami di sini menyokong penuh serta yakin dengan kepimpinan Datuk (Hanipuddin). Kita akan melakukan yang terbaik untuk menyokong Datuk sebagai Pemangku Ketua Bahagian PJS khasnya dan Umno Petaling Jaya secara amnya.

"Dan saya yakin semua anggota Umno akan tetap menyokong Umno Bahagian PJS di bawah kepimpinan Datuk Hanipuddin," kata Muhammad kepada Bernama selepas menghadiri mesyuarat tersebut selama satu jam di Bangunan Umno Selangor dekat sini, malam ini.

Bekas Ketua UMNO Bahagian PJS, Kapten (B) Datuk Zahar Hashim yang digantung daripada jawatan itu sejak awal bulan ini kerana mengkritik kepimpinan tertinggi parti, secara rasmi menyertai Pas pada 24 Dis lepas.

Zahar mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Razak menyalahgunakan kuasa dalam satu pertemuan dengan ketua-ketua bahagian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini.

Sementara itu, Hanipuddin, 60, dalam reaksinya berkata beliau menerima keputusan itu dan akan sedaya upaya bekerja keras bagi mengukuhkan lagi parti.

"Boleh dikatakan sebanyak 24 cawangan Umno PJS yang sebelum ini menentang kepimpinan Zahar bertindak menyertai kami semula selepas beliau menyertai Pas," katanya.

Beliau juga menjelaskan hanya 10 ketua cawangan Umno PJS yang keluar bersama-sama Zahar dan bukan 28, seperti dilaporkan sebelum ini.

"Seramai 86 ketua cawangan masih ada bersama kami," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain