suria

Nazrin titah pemimpin kurang bertelagah dan utamakan rakyat

IPOH: Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah bertitah supaya gerak kerja pembangunan dan membebaskan negara daripada kemelut ekonomi yang sedang melanda dunia menjadi tumpuan bagi tahun baru Islam 1430 Hijrah.

Baginda menyeru supaya tahun ini juga dijadikan tahun di mana pemimpin kurang berpolemik, kurang berpolitik, kurang bercanggah dan bertelagah kerana ada kalanya kegiatan politik yang keterlaluan bukan sahaja tidak produktif tetapi bersifat 'counter' produktif.

"Dalam menghadapi suasana begini, pemimpin wajib meletakkan keutamaan rakyat, mencari kata sepakat, pendekatan selari untuk menangani masalah dan cabaran yang memerlukan penyatuan pendekatan dan persefahaman pelaksanaan," titah baginda ketika merasmikan Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah 1430 Negeri Perak di sini hari ini.

Turut berangkat ialah Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara serta Raja Dihilir Raja Jaafar Raja Muda Musa, Puan Muda Perak Raja Normahani Raja Shahar Shah dengan diiringi Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan isteri Datin Seri Fatimah Taat.

Tahun ini juga perlu dijadikan tahun mencerminkan negara memiliki kekuatan untuk bertindak tegas memerangi rasuah, membuktikan keberanian negara melaksanakan keadilan iaitu menjatuhkan hukuman kepada mereka yang menodai amanah, kepercayaan dan tanggungjawab, titah baginda.

"Tahun 1430 Hijrah juga hendaklah tahun bagi setiap rakyat membuktikan kejujuran dan keikhlasan dan selaras dengan ajaran Islam, bersedia melakukan sifat bermuhasabah, memperlihatkan semangat kebertanggungjawaban sendiri yang tinggi dengan secara rela mengundurkan diri dari memegang amanah iaitu secara rela meletakkan jawatan apabila nama baik telah tercalar atau tercemar," titah baginda.

Raja Nazrin Shah turut bertitah ekonomi pada 1430 juga diramalkan mengalami pertumbuhan yang paling lemah dalam tempoh 25 tahun di mana aktiviti pengurangan kredit yang sedang dilaksanakan akan mengakibatkan persekitaran ekonomi global muram sekaligus memberi tekanan kepada perbelanjaan pengguna dan korporat.

"Bahawa negara kita tidak terlepas daripada menghadapi kesan negatif dari suasana ekonomi yang muram ini. Berapakah peluang baru pekerjaan yang dapat diwujudkan? Dan bagaimana nasib graduan yang akan meninggalkan kampus universiti dan anak-anak yang akan tamat pengajian di sekolah?

"Bagaimana pula dengan nasib mereka yang mungkin terpaksa menelan pahit menghadapi realiti terpaksa diberhentikan kerja. Bagaimana perit yang perlu ditanggung di kalangan mereka yang berada dalam kemiskinan," titah baginda.

Baginda bertitah kemelut ekonomi ini berpunca daripada himpunan pelbagai aktiviti yang sekian lama berunsur destruktif, dari segi salah pengurusan, pecah amanah, salah keutamaan menyalurkan sumber kekayaan anugerah Ilahi.

Raja Nazrin Shah bertitah dunia menyaksikan bagaimana sumber kekayaan lebih banyak dibelanjakan bagi tujuan membina kekuatan persenjataan dan ketenteraan untuk membolehkan negara kaya dan negara maju melakukan serangan terhadap negara lain, berselindung atas topeng demokrasi iaitu berselindung atas hasrat melaksanakan keadilan.

"Suasana ekonomi yang muram ini adalah peringatan Ilahi kepada umat manusia. Betapa manusia terutama mereka yang diamanahkan kuasa, wajib menginsafi akan tanggungjawab utama menyempurnakan tugas terhadap manusia dan melaksanakan keadilan terhadap alam.

"Betapa sebahagian mereka yang berkuasa dan berjawatan asyik dan mabuk dengan kuasa, bersifat tamak, berlagak angkuh, sehingga kuasa sering kali disalahgunakan hingga menjadi punca berlakunya pelbagai bencana," titah baginda.

Oleh itu, baginda bertitah negara perlu memiliki instrumen berkesan berupaya memantau sebarang penyalahgunaan kuasa serta mengambil langkah tepat memenuhi tuntutan warga yang mahu tadbir urus yang telus, sifar rasuah yang didukung dengan sistem kehakiman adil di mana ia boleh dicapai jika hakim terdiri daripada kalangan mereka yang berintegriti tinggi.

Pada perhimpunan sambutan kali ini, Muhammad Rivai Batubara dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah kerana jasa dan sumbangan cemerlang beliau dalam pembangunan ilmu Islam dan khidmat bakti yang dicurahkan sebagai pendakwah yang disegani sementara Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Nordin pula menerima Anugerah Khas.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain