suria

Lantikan Anwar ketuai Sabah, Sarawak bukan perlekeh pemimpin PKR negeri

KOTA KINABALU: Pelantikan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetuai parti itu di Sabah dan Sarawak tidak bertujuan memperlekehkan kepimpinan sedia ada di kedua-dua negeri tersebut, kata Setiausaha PKR Sabah, Ahmad Thamrin Mohd Jaini.

Ahmad Thamrin berkata, keputusan supaya Anwar menggantikan Datuk Dr. Jeffrey Kitingan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PKR Sabah dan Sarawak sebenarnya bertujuan memperkukuhkan parti itu.

"Kita perlu melihat keputusan itu secara positif dan tidak patut mempersoalkannya," katanya.

Bagaimanapun katanya, kedudukan Anwar dalam mengetuai PKR di kedua-dua negeri itu adalah untuk sementara waktu sahaja.

Awal minggu ini, Jeffrey telah menyifatkan tindakan menggantikan beliau dengan Anwar bagi mengetuai PKR di Sabah seperti memberi gambaran yang orang Sabah tidak berkemampuan mengetuai parti di negeri itu.

Thamrin berkata, keputusan yang dibuat kepimpinan PKR pusat bukan didorong oleh sebarang agenda peribadi.

Beliau menafikan yang PKR Sabah kini menerima tentangan berikutan pelantikan Jeffrey sebagai salah seorang daripada timbalan pengerusi di negeri itu. Dua lagi adalah Pengerusi PKR Sabah, Ansari Abdullah dan penyandang jawatan itu sebelum ini, Christina Liew.

Umum mengetahui memang wujud persaingan dalam merebut jawatan antara Jeffrey dan Ansari.

Kata Thamrin, jika wujud perpecahan dengan pelantikan jawatan-jawatan itu, keputusan supaya Anwar mengetuai PKR Sabah adalah demi kepentingan menyatukan parti.

Minggu lalu, PKR mengumumkan rombakan penyandang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri iaitu Anwar mengetuai Sabah dan Sarawak.

Pengerusi Perhubungan Negeri yang lain terdiri daripada Datuk Fauzi Abd Rahman di Pahang, Pulau Pinang (Datuk Zahrain Mohamed Hashim), Negeri Sembilan (Datuk Kamarul Baharin Abbas), Selangor dan Wilayah Persekutuan (Tan Sri Datuk Abd Khalid Ibrahim), Kedah (Ahmad Kassim), Kelantan (Ab Aziz Ab Kadir), Perlis (Johari Shafie), Melaka (Khalid Jaafar), Johor (Dr. Zaliha Mustaffa), Perak (Osman Abdul Rahman) dan Terengganu (Wan Rahim Wan Hamzah).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain