suria

Ingkar larangan: MB Perak terkilan 2 wakil rakyat PKR

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin terkilan dengan tindakan dua wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila mereka enggan mematuhi larangan kerajaan negeri tidak membenarkan proses penamaan calon bagi pemilihan ketua Kampung Baru.

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Simpang Pulai, Chan Ming Kai dan anggota Parlimen Gopeng, Dr. Lee Boon Chye menyerahkan laporan berhubung pemilihan ketua Kampung Baru Gunung Rapat yang akan diadakan Khamis ini.

"Saya terkilan dengan tindakan kedua-dua mereka kerana larangan itu sudah dimaklumkan sebelum ini.

"Justeru, saya mengarahkan mereka supaya menghantar laporan mengenai perkara itu kepada saya secepat mungkin.

"Saya ingin melihat kewajaran Chan dan Dr. Lee untuk meneruskan niat mereka sebelum tindakan susulan dilakukan ke atas kedua-dua mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Maal Hijrah 1430 peringkat negeri di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Chan dan Dr. Lee yang masih meneruskan proses penamaan calon ketua Kampung Baru bagi Kampung Gunung Rapat di sini semalam walaupun kerajaan negeri telah mengeluarkan larangan berhubung perkara itu.

Mohammad Nizar berkata, beliau juga telah mengarahkan proses penamaan calon bagi jawatan berkenaan yang diadakan semalam dibatalkan dan tidak membenarkan mana-mana pihak mengadakan pemilihan bagi jawatan berkenaan.

Dalam proses penamaan calon yang diadakan di Dewan Fook Tat Chee itu, seramai lima penduduk kampung berkenaan berusia 39 hingga 68 tahun menawarkan diri bagi merebut jawatan itu.

Jumaat lepas, Menteri Besar membuat kenyataan bahawa kerajaan negeri tidak membenarkan manamana pihak termasuk parti dalam Pakatan Rakyat mengadakan pemilihan ketua Kampung Baru kerana mesyuarat Exco kerajaan negeri telah memutuskan jawatan berkenaan hanya dibuat secara lantikan.

Mohammad Nizar berkata, proses pelantikan sudah diluluskan oleh mesyuarat Exco kirakira tiga minggu lepas dan kerajaan negeri akan membuat pelantikan mengikut peringkat mulai bulan depan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain