suria

Keluar PKR: 'Mike' cukup matang buat keputusan, kata Khalid

PETALING JAYA: Pucuk kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyerahkan kepada Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam sama ada mahu meninggalkan parti itu ataupun terus kekal wakil rakyat Pakatan Rakyat.

"Beliau sudah cukup matang untuk membuat keputusan terbaik kerana beliau sendiri mewakili kira-kira 100,000 pengundi (kawasan Parlimen Kapar)," kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar dan Pengerusi PKR Selangor di sini malam tadi.

Ketika mengulas lanjut kenyataan Manikavasagam bahawa beliau akan membuat satu pendirian keras - dipercayai keluar PKR menjelang Rabu ini, Khalid berkata:

"Itu keputusan beliau tetapi tidak bererti Parti Keadilan menggalakkan beliau membuat keputusan itu."

"Tetapi apa pun keputusannya, ia perlu dibincangkan dalam Majlis Kepimpinan Tertinggi parti," kata Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Mengenai masalah dalaman PKR, yang didakwa sebagai punca Manikasavagam membuat keputusan itu, Khalid menjelaskan, beliau tidak nampak kewajaran dakwaan tersebut.

"Manikasavagam mempunyai platform dalam mesyuarat negeri dan juga dalam parti untuk menyuarakan (isu-isu yang timbul)... sebagai Ahli Parlimen beliau dijemput untuk mengadakan perbincangan," katanya.

Ketika ditanya sama ada akan menemui Manikasavagam, Menteri Besar itu berkata, "terpulang kepada beliau berjumpa dengan Majlis Kepimpinan parti."

"Dalam Majlis Kepimpinan parti adalah sebuah biro politik yang diwujudkan untuk menyelesaikan hal-hal seperti ini," katanya.

Apabila ditanya bila ia akan dibawa untuk dibincangkan, Khalid memberitahu, "bila masa yang dirasakan sesuai untuk membincangkan perkara itu."

Khalid yang turut mengulas mengenai kecaman dan kritikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Teng Chang Khim terhadap ahli-ahli Parlimen PKR berkata:

"Tak ada... kalau pemimpin DAP pula nanti kata PKR mengkritik DAP, kemudian kamu masukkan pula PAS, kemudian kamu masukkan pula Umno, kemudian semualah.

"Sepanjang pengetahuan saya, perkara ini adalah normal, tiada yang tidak normal tentangnya. Dalam politik ia memerlukan perbincangan untuk membincangkan masalah... ia adalah satu proses."

Jumaat lalu, Manikasavagam dalam temu bual eksklusif dengan mStar Online memberitahu, beliau nekad untuk keluar daripada PKR dan dijadual akan mengumumkan pendiriannya secara rasmi sebelum Rabu ini.

Beliau mendakwa berasa kecewa dengan sikap pemimpin Pakatan Rakyat di Selangor yang didakwanya cuai menjaga kepentingan rakyat.

Menurut Manikavasagam, pemimpin Pakatan Rakyat di Selangor juga didakwa tidak sepakat dan rapuh dari segi hubungan sesama mereka, selain segelintir berlagak sombong serta enggan berbincang mencari penyelesaian terhadap isu yang diketengahkan.

Katanya, selain tidak mendapat sokongan daripada pemimpin PKR sendiri, wakil rakyat PKR juga dikecam dan dikritik oleh pemimpin parti komponen Pakatan Rayat khususnya DAP.

Dua bulan lalu, Manikavasagam pernah mengugut akan melepaskan jawatan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri jika kerajaan negeri tidak menyelesaikan isu kuil yang dirobohkan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya.

Sebelum itu, beliau juga pernah mencetuskan kontroversi apabila mengkritik secara terbuka dan mendakwa Khalid sebagai tidak prihatin kerana tidak turun padang melawat mangsa ribut pada Oktober lalu.

KOMEN RAKAN-RAKAN

Dalam pada itu, rakan-rakan Manikavasagam masih yakin wakil rakyat PKR itu tidak akan keluar parti di sebalik beberapa masalah yang dialami dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan PKR, Tian Chua berkata, beliau akan berjumpa dengan Manikavasagam, yang turut dikenali sebagai Mike dalam jangka masa terdekat berhubung pendiriannya untuk keluar parti.

Tian Chua berkata, PKR tidak sanggup kehilangan seorang Ahli Parlimen yang juga anggota Majlis Kepimpinan Tertinggi kerana percaya Manikavasagam tidak berhasrat meninggalkan parti.

Sebaliknya, kata beliau, wakil rakyat itu hanya tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan negeri berhubung isu stesen bas Klang.

"Tidak timbul isu keluar atau tidak keluar parti di sini. Jangan kita tafsir kenyataan beliau itu sebagai beliau mahu keluar parti.

"Beliau hanya menggunakan pendekatan itu untuk meminta kerajaan Selangor mengambil tindakan serius tentang isu stesen bas di Klang.

"Beliau bukannya tiba-tiba merajuk dan terus mahu keluar parti," katanya ketika dihubungi mStar Online semalam.

Manikavasagam yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Selangor sebelum ini pernah menyuarakan bantahan terhadap pemindahan stesen bas dan kereta sewa dari pusat bandar Klang ke lokasi baru, di Klang Sentral, Kapar.

Mengulas lanjut mengebai perkara itu, Tian Chua berkata, keputusan memindahkan stesen bas itu diwarisi daripada kerajaan Barisan Nasional yang memerintah Selangor sebelum ini.

"Kapar (Manikavasagam) anggap, jika kita telah mengambil alih kerajaan negeri, kita perlu proaktif terhadap rasa tidak puas hati penduduk tentang keputusan itu kerana penduduk merasakan tempat baru itu tidak sesuai dan susah nak sampai.

"Tapi kerajaan Selangor dalam dilema kerana jika kita tidak ikut keputusan itu, ia akan melibatkan kos yang tinggi termasuk terpaksa mencari lokasi baru.

"Jadi dalam hal ini, saya tak boleh nak cakap siapa yang betul, siapa yang salah," katanya.

Ditanya tindakan yang akan diambil kerajaan Selangor berhubung bantahan Manikavasagam ini, Tian Chua berkata, beliau tidak boleh memberi sebarang komen mengenai perkara itu kerana ia melibatkan isu di negeri tersebut.

"Bagaimanapun saya percaya, kita akan berbincang dan akan menyelesaikannya dengan baik," katanya.

Tian Chua berkata, dakwaan Manikavasagam berhubung wakil rakyat PKR dikecam dan dikritik oleh pemimpin parti komponen Pakatan Rayat di Selangor khususnya oleh DAP itu juga sebenarnya adalah berkaitan dengan isu stesen bas itu.

"Masalahnya di sini adalah isu stesen bas itu, bukannya isu lain," katanya.

Berhubung dakwaan Manikavasagam bahawa beliau dikritik oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pinang, Teng Chang Khim, yang didakwa menuduhnya berlagak seperti pembangkang dan pembohong kerana terbabit dalam bantahan itu, Tian Chua berkata, itu hanyalah salah faham yang timbul antara mereka.

"Ia adalah salah faham antara mereka berhubung isu yang sama. Biasalah kalau orang bergaduh tapi saya percaya, ia akan diselesaikan secara baik," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan memujuk Manikavasagam jika ahli Parlimen itu benar-benar mahu meninggalkan PKR, Tian Chua berkata: "Tidak timbul istilah 'jika' di sini kerana saya percaya, beliau tidak akan keluar daripada parti."

Sementara itu, ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi PKR, N. Gobalakrishnan berkata, beliau juga tidak percaya yang Manikavasagam akan keluar parti.

"Saya kenal beliau. Beliau adalah kawan baik saya. Beliau tidak akan berbuat demikian.

"Saya pun tidak tahu bagaimana hal ini boleh terjadi tapi saya percaya mungkin beliau berkata demikian kerana berada dalam keadaan sedikit kecewa," katanya yang juga Ahli Parlimen Padang Serai.

KOMEN TIMBALAN PRESIDEN

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Dr. Syed Husin Ali berkata, PKR akan menunggu surat rasmi daripada Manikavasagam jika benar beliau ingin keluar daripada parti itu seperti yang didakwa Jumaat lalu.

Syed Husin berkata, setakat ini, Manikavasagam tidak pernah menyuarakan hasrat itu kepadanya sebaliknya beliau hanya mengetahui hal tersebut daripada media.

"Saya cuma tahu hal ini melalui akhbar. Perkara dia nak keluar parti ni sebenarnya cerita lama... sekejap nak keluar, sekejap tak nak keluar.

"Jika benar dia nak keluar, kita akan tunggu surat rasmi daripadanya. Parti tidak akan bertindak berdasarkan laporan akhbar," katanya.

Ditanya berhubung dakwaan Manikavasagam bahawa Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah memujuknya sebelum ini ketika beliau menyuarakan hasrat untuk keluar parti itu sebelum ini, Syed Husin berkata, beliau tidak tahu-menahu tentang perkara itu.

Beliau juga enggan mengulas lanjut berhubung dakwaan Manikavasagam bahawa pemimpin Pakatan Rakyat di Selangor tidak sepakat dan rapuh dari segi hubungan sesama mereka.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain