suria

Khir Toyo sambut baik larangan kempen guna blog

PETALING JAYA Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo menyambut baik larangan penggunaan blog untuk berkempen dalam mana-mana pemilihan parti.

Calon kerusi Ketua Pemuda itu berkata, larangan seumpama itu perlu bagi menghalang calon yang bertanding di semua peringkat daripada menyebarkan maklumat tidak tepat atau cubaan memburuk-burukkan calon lain.

"Perkara ini sememangnya terkandung dalam Tataetika Ahli Umno dan jelas sekali kita tak boleh buruk-burukan calon lain apatah lagi memfitnah pihak lawan.

"Bagi saya larangan dan amaran yang diberikan oleh Lembaga Disiplin Umno adalah sangat tepat," katanya kepada mStar Online.

Jelasnya lagi penggunaan media massa termasuk blog peribadi untuk menyerang peribadi lawan semata-mata untuk meraih sokongan dan undi wajar dikenakan tindakan disiplin.

Bagaimanapun katanya, mungkin larangan yang dikeluarkan itu telah disalahertikan oleh sesetengah pihak.

"Mungkin ada usaha oleh pihak-pihak tertentu untuk kelirukan penulis-penulis blog mengenai isu ini.

"Tapi sebenarnya kalau kita menggunakan blog untuk menyuarakan pandangan dan pendapat tanpa mempengaruhi mana-mana pihak... itu tidak salah," katanya.

Beliau yang juga calon bagi jawatan Ketua Pemuda Umno pada pemilihan parti Mac depan mempunyai blog peribadi yang digunakan sebagai medan untuk menyuarakan pandangan dan kritikan mengenai keadaan politik semasa.

"Saya gunakan blog untuk luahkan pandangan, idea, dan kritikan saya mengenai pelbagai isu.

"Blog ini bukan tempat untuk saya berkempen," katanya.

Semalam dalam blognya, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib, salah seorang calon yang bakal menyaingi kerusi Timbalan Presiden, mahu Lembaga Disiplin menjelaskan tatacara kempen menerusi blog.

Ketua Penerangan Umno itu berkata, "empat hari lepas Lembaga Disiplin Umno memberi amaran kepada bekas Ketua Umno Bahagian Hulu Langat, Datuk Ahmad Kuris Mohd. Nor kerana berkempen menggunakan blog semasa pemilihan bahagian yang lalu."

"Amaran Lembaga Disiplin ini perlukan penjelasan lanjut apakah pemilihan di peringkat Umno pusat yang akan diadakan Mac tahun depan juga tertakluk kepada larangan menggunakan blog atau laman web," kata beliau.

Tegas beliau, larangan menggunakan blog sebagai kaedah untuk berkempen perlu diperjelaskan dengan lebih terperinci memandangkan pemilik blog terutama di kalangan ahli dan pemimpin Umno agak ramai pada masa ini.

Artikel Sebelum

Artikel Lain