suria

Tragedi Bukit Antarabangsa: Polis belum sahkan mayat kelima warga Sri Lanka

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Polis belum dapat mengesahkan sama ada mayat kelima dalam kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa 6 Dis lepas yang ditemui semalam warga Sri Lanka.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata, pihak Bomba dan Penyelamat menemui mayat itu kira-kira pukul 6.30 semalam, 50 meter dari kediaman mendiang Dr. S.Yogeswari yang turut terkorban dalam tragedi tersebut.

Ditanya sama ada mayat yang ditemui itu pembantu rumah warga Sri Lanka, dikenali sebagai Mary, yang dilaporkan hilang ekoran tragedi itu, Khalid berkata, setakat ini identiti mangsa belum dapat disahkan.

Insiden tanah runtuh kira-kira 4 pagi itu meranapkan 14 buah banglo di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa dan meragut empat lagi nyawa.

Empat mangsa korban lain itu ialah Shaiful Khas Shahrudin, 20, Dr Yogeswari, 40, Eng Yee Peng, 30, dan seorang pembantu rumah warga Indonesia, Surinah, 30an.

Timbalan Ketua Polis Ampang Supt Amiruddin Jamaluddin pula berkata mayat itu ditemui di dalam satu lubang oleh seorang pasukan keselamatan yang terhidu bau busuk ketika operasi pembersihan sedang dijalankan. "Ketika kerja mengorek, didapati cebisan anggota badan manusia telah reput terpisah antara satu sama lain seperti anggota tangan dan kaki. Mayat tersebut juga sudah nampak tulang anggota badan dan kepala terpisah daripada badan," katanya yang ketika ditemui di tempat kejadian.

Ketika ditemui, katanya mayat tersebut ditemui berbaju kemeja-T berwarna merah jambu.

Mayat itu berjaya dikeluarkan kira-kira 8 malam dan kini berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain