suria

Polis rampas syabu dan Eramin 5 bernilai RM1.1 juta

JOHOR BAHRU: Sepasukan anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menyerbu sebuah rumah di Taman Johor Jaya semalam dan merampas satu kilogram dadah jenis Syabu serta 5,350 biji pil Eramin 5 yang dianggarkan bernilai lebih RM1.1 juta di pasaran gelap.

Ketua JSJN Polis Johor, ACP Kamaruddin A.Aziz berkata, dalam serbuan ke atas rumah dua tingkat pada 4 petang itu, mereka turut menahan seorang lelaki berusia 37 tahun dan seorang wanita berusia 31 tahun, yang dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah di Johor Bahru.

"Dadah yang dirampas itu adalah untuk pasaran Johor Baharu. Kedua-dua mereka merupakan anggota sindiket pengedaran dadah Syabu dan Eramin 5 yang telah menjalankan operasi di bandaraya ini sejak enam bulan lepas.

"Dengan tertangkapnya dua anggota terbabit, kita telah dapat melumpuhkan sindiket pengedaran dadah Syabu dan Eramin 5 di bandaraya ini," katanya pada sidang media yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah hari ini. Dalam serbuan tersebut, katanya dadah Syabu tersebut dan 500 papan mengandungi 5,000 biji pil Eramin 5 yang dianggarkan bernilai RM15 sebiji ditemui tersembunyi di ruang tamu rumah berkenaan.

Kamaruddin berkata, sewaktu pemeriksaan di bilik atas rumah berkenaan, polis turut menemui 35 papan yang mengandungi 350 biji pil Eramin 5 serta dua beg plastik yang menyimpan 20 gram dadah Syabu.

Selain itu, katanya polis turut merampas wang tunai sebanyak RM5,105, dollar Singapura sebanyak $2600 dan 100 Pound Sterling serta dua buah kereta jenis Proton Wira dan Perodua Viva.

Beliau berkata, satu kilogram dadah Syabu itu dianggarkan bernilai RM1.1 juta di pasaran gelap, manakala 5,350 biji pil Eramin 5 itu pula bernilai RM80,250.

Katanya, sindiket terbabit dipercayai menjual dadah tersebut kepada pelanggan mereka di pusatpusat hiburan di sekitar Johor Bahru sejak mereka beroperasi di bandaraya ini enam bulan lepas.

Kamaruddin berkata polis masih lagi menjalankan siasatan lanjut terhadap sindiket terbabit. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain