suria

Perkukuh semangat memahami antara kaum

KUALA LUMPUR: Rakyat harus menilai semula dan memperkukuh semangat saling memahami antara kaum yang telah mendasari perpaduan negara selama ini, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Untuk itu, mereka perlu menggerakkan peranan masing-masing ke arah merapatkan lagi hubungan kerana tanggungjawab untuk membina perpaduan tidak harus disandarkan kepada kerajaan semata-mata, kata Perdana Menteri dalam perutusannya sempena Hari Krismas yang akan disambut Khamis.

Beliau berkata, usaha membina perpaduan terletak pada bahu setiap rakyat.

Katanya, hubungan muhibah antara kaum perlu sentiasa diperbaharui agar negara dapat menangani pelbagai cabaran yang pasti timbul dalam sebuah negara majmuk.

Usaha sebegini, menurut Abdullah, hendaklah terus dilaksanakan bukan sekadar pada tahap pembinaan toleransi dan sambutan perayaan sahaja malah hendaklah menjurus ke arah satu persefahaman yang lebih kukuh dan apresiasi antara satu sama lain yang utuh lagi ikhlas.

Perdana Menteri juga mahu rakyat agar tidak melupakan golongan kurang bernasib baik khususnya mereka yang ditimpa musibah tanah runtuh dan banjir baru-baru ini.

"Dalam suasana kita menyambut Krismas, marilah kita sama-sama menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan," katanya.

Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat juga meminta rakyat supaya meningkatkan tahap persefahaman dan saling menghormati antara kaum yang dapat disemai menerusi interaksi.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman pula menyeru rakyat supaya mengelak daripada menyebarkan sentimen agama dan perkauman yang boleh membawa kesan negatif terhadap integrasi.

"Saya harap kita berdiri teguh dalam wawasan kita untuk terus bersatu padu," katanya.

Di Kuching, Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Abang Salahuddin berharap sambutan Krismas dan Tahun Baru 2009 dapat diraikan dalam suasana aman damai dan penuh muhibbah.

Beliau berkata, seperti perayaan lain di negara ini amalan rumah terbuka dan kunjung mengunjung tanpa mengira kaum dan keturunan harus diteruskan kerana perpaduan masyarakat berbilang kaum merupakan azimat penting kepada kejayaan negara yang mempunyai berbilang bangsa dan agama.

Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud pula berkata beliau amat menghargai sumbangan persatuan-persatuan berteraskan agama termasuk agama Kristian yang memberikan kerjasama penuh kepada kerajaan yang sedia ada hari ini.

Katanya, pertubuhan terbabit telah berjaya menjadi penghubung antara rakyat dengan kerajaan selain melakukan beberapa tanggungjawab sosial seperti membantu golongan miskin dan kurang upaya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain