suria

Mayat kelima sah warga Sri Langka

PETALING JAYA: Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Abdul Jalil Hassan mengesahkan mayat kelima yang ditemui reput semalam dalam kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada 6 Disember lalu adalah pembantu rumah warga Sri Langka yang dilaporkan hilang.

"Bersadarkan hasil bedah siasat, kita dapati mayat tersebut adalah warga Sri Langka yang dikenali sebagai Mary.

"Malah keluarga majikannya turut mengesahkan idenditi mayat itu apabila dicam melalui baju yang dipakai, selimut serta tilam yang dijumpai sah milik mangsa," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Jelas beliau proses pengecaman mayat itu dibuat oleh keluarga majikan Mary pada pukul 11.30 pagi tadi.

Mayat tersebut ditemui dalam keadaan kepalanya terpisah dari badan dalam lubang sedalam satu meter pada pukul 6.30 petang semalam oleh anggota keselamatan yang menjalankan operasi pemantauan dan pembersihan di kawasan runtuhan.

Menurut Abdul Jalil, mayat Mary ditemui dengan kakinya ditindih katil di kawasan kira-kira 50 meter dari tapak banglo majikannya Dr. N.Yogeswari yang turut terkorban dalam kejadian 6 Disember lepas.

"Bagaimanapun kini kita akan cuba mendapatkan ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) dari keluarga mangsa.

"Pihak polis telah berhubung dengan kedutaan Sri Lanka bagi mendapatkan DNA keluarga mangsa untuk diuji dan pihak kedutaan akan berbincang dengan pihak majikan bagi urusan penghantaran pulang mayat," katanya.

Insiden tanah runtuh kira-kira pukul 4 pagi itu meranapkan 14 buah banglo di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa telah meragut empat lagi nyawa.

Empat mangsa korban lain itu ialah Shaiful Khas Shahrudin, 20, Dr. Yogeswari, 40, Eng Yee Peng, 30, dan seorang pembantu rumah warga Indonesia, Surinah, 30an.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain