suria

Altantuya: Karpal mahu keputusan Peguam Negara tidak rayu dibatal

SHAH ALAM: Peguam Karpal Singh hari ini memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini bagi membatalkan keputusan Peguam Negara untuk tidak merayu terhadap pembebasan Abdul Razak Baginda atas tuduhan bersubahat dalam pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Karpal berkata, permohonan itu difailkan tengah hari tadi bagi pihak bapa Altantuya, Dr Shaariibuu.

Katanya, mereka meminta mahkamah membatalkan keputusan tidak merayu terhadap pembebasan itu dan mengarahkan Peguam Negara untuk menggunakan budi bicaranya di bawah Artikel 145 (3) Perlembagaan Persekutuan untuk memohon cuti dan memfailkan rayuan dalam kes tersebut.

Karpal berkata, permohonan cuti itu adalah perlu berikutan tempoh 14 hari untuk memfailkan rayuan terhadap pembebasan Razak pada 31 Oktober lalu itu telah berakhir pada 14 November lalu.

"Kami mempunyai 40 hari untuk memfailkan permohonan itu dan hari ini adalah hari terakhir untuk kami melakukannya," katanya kepada media di lobi mahkamah hari ini.

Beliau berkata, permohonan itu juga turut meminta supaya Abdul Razak diletakkan di bawah tahanan sepanjang tempoh rayuan terhadap pembebasannya atau dibebaskan dengan ikat jamin.

Pada 14 November lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah, yang mengetuai barisan pendakwaan kes itu telah memutuskan tidak akan memfailkan rayuan atas pembebasan Abdul Razak yang merupakan tertuduh ketiga dalam kes pembunuhan Altantuya kerana alasan hakim yang memutuskan kes itu telah pun membuat penemuan fakta dalam membebaskan Abdul Razak.

Dua lagi terduduh iaitu Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, kedua-duanya anggota Unit Tindakan Khas (UTK) diarah supaya membela diri atas tuduhan yang dihadapi pada 15 Januari depan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain