suria

Tindakan disiplin terhadap Muthu

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kerja Pusat MIC (CWC) sedang menimbangkan tindakan disiplin terhadap Datuk M. Muthupalaniappan, yang berhasrat bertanding jawatan presiden parti, atas dakwaan mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan parti politik terbesar kaum India di negara ini.

Sumber mendedahkan mesyuarat bulanan CWC, dipengerusikan Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu Khamis lepas, memutuskan perkara itu diteliti oleh jawatankuasa disiplin parti yang diketuai veteran parti Tan Sri G. Vadiveloo.

Ketika dihubungi hari ini, Vadiveloo tidak menafikan atau mengesahkan sama ada Muthupalaniappan sedang disiasat kerana mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan parti, hanya berkata: "Saya tidak boleh komen mengenainya".

Muthupalaniappan, bekas naib presiden MIC, mengumumkan hasrat bertanding jawatan presiden parti sebulan lepas dan sejak itu telah mengeluarkan beberapa kenyataan berkaitan parti.

Bagaimanapun, tidak jelas sama ada terdapat kenyataan yang telah melanggar perlembagaan MIC, yang memberi hak kepada presiden, atas nasihat CWC dan jawatankuasa disiplin, memecat manamana anggota yang didapati bersalah kerana mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan parti. Sementara itu, setiausaha akhbar Muthupalaniappan, V. Thiagarajan semasa dihubungi berkata ketuanya sedar yang beliau akan disiasat oleh lembaga disiplin MIC tetapi beliau "tiada apa yang hendak disembunyikan kerana beliau tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan parti."

"Beliau tahu mengenai keputusan CWC. Kami telah membaca semua keratan akhbar dan apa juga kenyataan yang dikeluarkan oleh ketua saya, dan tiada apa yang beliau katakan bertentangan dengan kepentingan parti. Kami akan lihat apa yang jawatankuasa disiplin mahu dan akan bekerjasama dengan mereka," katanya.

Beliau juga mendakwa Muthupalaniappan bakal mencipta kejayaan dalam pemilihan jawatan presiden parti, dijadual pada suku pertama tahun depan.

"Kami bakal mengecapi kemenangan. Kami telah berjumpa anggota cawangan dan semuanya amat positif," katanya.

Thiagarajan juga berkata Muthupalaniappan juga telah menulis surat kepada Samy Vellu dan setiausaha agung parti merayu agar cawangan baru tidak ditubuhkan tahun ini kerana pemilihan parti dijadual pada 2009.

"Tetapi kami masih belum menerima jawapan kepada perkara itu, jadi kami perlu lihat dulu," katanya.

Perebutan bagi jawatan presiden MIC akan diputuskan oleh ketua cawangan parti, yang akan mengundi bagi memilih presiden parti.

Jawatan timbalan presiden, tiga naib presiden dan 23 anggota CWC akan dipilih oleh kirakira 1,500 perwakilan bahagian pada perhimpunan agung parti yang akan diadakan kemudian. BERNAMA

Artikel Sebelum

Zahar sah sertai PAS

Artikel Berikut

Artikel Lain