suria

Pihak berkuasa diminta siasat penyelewengan dalam Angkasa

KUALA LUMPUR: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) hari ini menggesa pihak berkuasa, terutamanya Suruhanjaya Kooperasi Malaysia (SKM) supaya menyiasat manipulasi kewangan membabitkan RM20 juta sehari dan "Konspirasi Concorde" dalam badan itu.

Presidennya Profesor Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid berkata perkara itu telah dikemukakan kepada SKM pada 23 Okt dan 18 Nov susulan siasatan yang dijalankan oleh jawatankuasa pentadbiran kebangsaan Angkasa.

"Pemerhatian terhadap tindakan luar aturan kewangan dan pentadbiran dalam pemprosesan kelulusan pinjaman dan pemotongan pembayaran semula dalam Angkasa telah dinyatakan dalam laporan siasatan kepada SKM itu," kata Ungku Aziz.

"Ia serius kerana melibatkan kirakira RM20 juta sehari. Kurangnya maklum balas bersungguhsungguh secara relatifnya, dan pengelakan daripada sebarang reaksi yang wajar oleh pihak berkuasa berkaitan telah menyebabkan saya mengeluarkan kenyataan ini hari ini," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata sekiranya kesalahan atau tindakan luar aturan telah berlaku, tindakan mesti diambil dengan segera dan tanpa takut atau memilih bulu.

"Saya bertanggungjawab sepenuhnya di atas kenyataan ini dan menyatakannya supaya dengan itu kebenaran mungkin dapat membersihkan nama saya dan kehormatan diri berkaitan dengan fitnah yang wujud daripada "Konspirasi Concorde" dan untuk mendedahkan amalan salah dalam Angkasa," kata Ungku Aziz.

"Adalah amat mustahak kepentingan Angkasa dan ahlinya dijaga pada setiap masa," katanya.

Ungku Aziz berkata pihak berkuasa berkaitan seharusnya menjalankan siasatan yang menyeluruh terhadap "Konspirasi Concorde", yang timbul pada 23 Mac tahun ini.

Satu perhimpunan diadakan membabitkan anggota Jawatankuasa Tadbir Kebangsaan (JTK), tidak termasuk Ungku Aziz dan lima yang lain, yang sepatutnya bertujuan untuk menyerahkan satu surat rayuan kepada Presiden (Ungku Aziz) untuk membatalkan penggantungan dua pemegang jawatan. Bagi tujuan itu, mereka yang hadir pada perhimpunan berkenaan telah diminta untuk menandatangani satu senarai nama.

Tetapi kemudiannya, salah seorang yang menandatangani senarai nama itu telah membuat satu pengisytiharan berkanun dan laporan polis selepas mendapat tahu bahawa senarai penandatanganan yang sama telah digunakan dalam satu cubaan menyingkirkan Presiden.

Ungku Aziz berkata perkara lain yang timbul adalah penggantungan Pengurus Besar daripada jawatannya pada 24 Mac, 2008, penghakisan tanggungjawab ketua penjagaan keselamatan dan penyusunan semula dua jabatan dalam Angkasa.

"Sikap tamakkan wang oleh sesetengah ahli JTK teras yang berupaya mengutip jumlah elaun antara RM15,000 dan RM25,000 seorang sepanjang tempoh yang dikatakan tempoh peralihan (daripada 24 Mac hingga 5 Mei, 2008), apabila Ungku Aziz disingkirkan daripada jawatannya dan pemangku Presiden dilantik dan memegang jawatan juga merupakan satu isu," katanya.

Ungku Aziz diisytiharkan sebagai Presiden Angkasa yang sah pada 5 Mei oleh SKM. BERNAMA

Artikel Sebelum

Zahar sah sertai PAS

Artikel Berikut

Artikel Lain