suria

Pelaksanaan hudud hanya mainan politik PAS - Najib

KUALA LUMPUR: PAS dilihat sengaja membangkitkan isu lapuk apabila membangkitkan semula mengenai pelaksanaan hukum hudud dan qisas sebagai isu politik menjelang pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Jan depan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyifatkan perkara itu sebagai "isu lama" berkata, pelaksanaan hukum hudud dan qisas sering dibangkitkan setiap kali musim pilihan raya tetapi sehingga kini tiada apa yang dilakukan oleh PAS untuk melaksanakan slogan politik mereka itu.

"Dah lama cerita tu...bukan benda baru. Di Kelantan dan Terengganu (sebelum pilihan raya umum Mac lepas) mereka tidak buat (laksana hukum hudud), tiap kali (pilihan raya) jadikan perkara ini sebagai isu," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa yang memberi jaminan PAS akan melaksanakan hukum hudud sekiranya pakatan pembangkang berjaya memerintah negara pada masa depan.

Pada wacana perdana bertajuk "Transformasi Politik Islam" di Kota Bharu dua hari lepas, Husam berkata parti itu tidak pernah melupakan dasar perjuangannya untuk menegakkan pemerintahan Islam di negara ini, termasuk melaksanakan hukum itu.

Bagaimanapun ia tidak berupaya melaksanakan undang-undang Islam itu disebabkan kuasa mutlak berada pada Kerajaan Persekutuan.

Mempersoalkan agenda sebenar parti itu, Najib turut mempersoalkan mengapa isu itu tidak diperjuangkan di dalam manifesto parti ketika Pilihan Raya Umum ke-12 Mac lepas, sebaliknya parti itu memperjuangkan slogan negara kebajikan dan bukannya mengenai pelaksanaan hukum hudud.

"Tetapi sekarang nampaknya pemimpin PAS bercakap mengenai pelaksanaan hukum hudud. Ini soal kredibiliti. Mereka menjadikan isu ini sebagai isu politik," katanya.

Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail yang juga merupakan Timbalan Menteri Pelajaran.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Jan depan sebagai tarikh penamaan calon dan pengundian pada 17 Jan.

Barisan Nasional telah menamakan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai calon, manakala PAS bakal mengumumkan calon parti itu pada 1 Jan depan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Zahar sah sertai PAS

Artikel Berikut

Artikel Lain