suria

Mahfuz menang saman fitnah terhadap Utusan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen PAS bagi kawasan Pokok Sena, Mahfuz Omar memenangi saman fitnah terhadap Utusan Melayu Berhad dan diberikan RM120,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini sebagai ganti rugi bagi perkataan fitnah yang diterbitkan terhadapnya.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa dalam penghakimannya memutuskan, perkataan yang diterbitkan dalam akhbar Utusan Malaysia bertajuk "Demonstrasi Mahfuz isytihar bersama Keadilan" pada 4 Mac, 2001, adalah fitnah dengan niat untuk mencemarkan reputasi Mahfuz.

"Perkataan itu tidak memenuhi elemen komen yang adil, perkataan yang diterbitkan bukan fakta, bukan komen yang adil kerana ia tidak berasas. Perkataan itu juga tidak memenuhi kepentingan awam seperti ditegaskan oleh para defendan" katanya dalam penghakiman bertulis.

Katanya, perkataan yang digunakan itu menggambarkan Mahfuz sebagai seseorang yang mempunyai agenda politik dan sedang berusaha menggulingkan kerajaan sedia ada, "yang menyokong keganasan dan paksaan, yang tidak percaya dengan proses demokrasi untuk membawa perubahan dalam kerajaan yang memerintah dan berniat menimbulkan kekacauan dan ketidakstabilan terhadap keharmonian negara.

"Hakikat yang plaintif ialah seorang tokoh politik yang lantang bersuara adalah tidak relevan kerana isu yang perlu ditentukan ialah sama ada perkataan itu diungkapkan oleh plaintif. Para defendan, saya dapati, bukan sahaja gagal memberikan justifikasi bagi penggunaan perkataan itu tetapi juga gagal menunjukkan yang perkataan itu sebenarnya diungkapkan oleh plaintif," katanya.

Berhubung pemberian ganti rugi RM120,000 itu, Hakim Mohd Yazid berkata, beliau memberikan pertimbangan kepada kedudukan plaintif sebagai tokoh politik, anggota Parlimen dan tokoh terkenal di kalangan rakannya.

Beliau juga berkata, perkataan fitnah itu telah menjejaskan kedudukan politik dan sosial dan reputasi plaintif kerana diterbitkan secara meluas kerana akhbar defendan mempunyai edaran 200,000 naskhah sehari termasuk 800,000 pelawat dan 7.8 juta pelayar laman webnya sebulan bagi penerbitan dalam talian akhbar itu.

"Lebih memburukkan lagi keadaan, para defendan tidak mengemukakan sebarang permohonan maaf untuk mengurangkan kesan buruk terhadap reputasi plaintif," katanya.

Mahfuz, diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin, memfailkan saman pada 2001, menamakan ketua pengarang kumpulan Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia ketika itu, Datuk Khalid Mohd, dan penerbit akhbar itu, Utusan Melayu Berhad, sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutannya, beliau berkata Khalid secara sengaja dan berniat jahat membenarkan penerbitan dan pencetakan perkataan yang memfitnah beliau dalam akhbar Utusan Malaysia pada 4 Mac, 2001.

Beliau mendakwa perkataan itu telah mengaibkannya dan menjejaskan kredibilitinya di kalangan masyarakat.

Para defendan, dalam pernyataan pembelaan mereka, mendakwa artikel itu adalah betul daripada segi isi kandungan dan fakta dan menafikan ia satu fitnah.

Di luar mahkamah, Mahfuz memberitahu pemberita yang beliau berpuas hati dengan keputusan itu.

"Ini bukan soal amaun, tapi saya hendak membersihkan imej yang tercalar yang dipalitkan media sebelum ini," katanya.

Peguam M.Reza Hassan yang mewakili defendan berkata beliau akan mengkaji alasan penghakiman itu sebelum membuat sebarang keputusan untuk merayu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Zahar sah sertai PAS

Artikel Berikut

Artikel Lain