suria

Farid tidak boleh dilantik semula Senator jika kalah

KUALA LUMPUR: Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh tidak boleh dilantik semula sebagai senator sekiranya beliau tewas pada pilihan raya kecil itu 17 Januari depan.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Pawanteh juga berkata, walaupun pelantikan Ahmad Farid sebagai senator hanya selama dua minggu berikutan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu pada 6 Januari, beliau tetap dikira memegang jawatan itu selama satu penggal.

"Dalam undang-undang saya difahamkan tidak boleh. Ini soal pemerintahan, bukan soal main-main.

"Walaupun dua minggu menjadi senator, beliau dikira berada dalam satu penggal," katanya kepada pemberita ketika ditemui sedi sini hari ini.

Mengikut Perlembagaan, jawatan senator hendaklah dipegang selama satu penggal (tiga tahun) dan boleh disambung sebanyak satu penggal lagi, sama ada dilantik pada peringkat Persekutuan atau pemilihan pada peringkat negeri.

Abdul Hamid berkata, walaupun umum mengetahui bahawa Ahmad Farid dipilih sebagai calon BN di Kuala Terengganu, beliau tetap mengangkat sumpah sebagai senator hari ini seperti ditetapkan oleh perlembagaan.

"Jika Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu telah menamakan dan menyambung perkhidmatan beliau, kita tidak berhak menidakkan keputusan itu melainkan kita sempurnakan proses dengan angkat sumpah. Itu prinsip."

Selain itu, beliau berkata upacara angkat sumpah jawatan senator oleh Ahmad Farid tetap dijalankan bagi membolehkan beliau melaksanakan tugastugas sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri dengan sah.

"Ahmad Farid merupakan seorang timbalan menteri yang dilantik berdasarkan beliau seorang senator, dan tempoh perkhidmatan beliau tamat hari ini atau esok.

"Maka, jika tidak mengangkat sumpah, beliau tidak boleh jalankan tugas sebagai timbalan menteri dengan sah," katanya.

Ahmad Farid mengangkat sumpah sebagai senator untuk penggal kedua hari ini di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Senator Datuk Ir Wong Foon Meng .

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, ketika mengemukakan kertas pencalonan pada hari penamaan calon pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu nanti, Ahmad Farid perlu menyerahkan beberapa dokumen termasuk surat peletakan jawatan sebagai senator.

"Sebab dalam perlembagaan mengatakan tiada siapa boleh menganggotai dua-dua Dewan... Dewan Negara atau Dewan Rakyat. Itu syarat mutlak seseorang senator yang nak bertanding untuk pemilihan kerusi Dewan Rakyat, mesti letak jawatan dalam Dewan Negara," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Zahar sah sertai PAS

Artikel Berikut

Artikel Lain