suria

Kebimbangan dan ketakutan masih menghantui penduduk Bukit Antarabangsa

KUALA LUMPUR: Suasana kehidupan biasa kini beransur-ansur pulih di Bukit Antarabangsa, dekat sini selepas dua minggu tragedi tanah runtuh, yang meragut empat nyawa dan meranapkan 14 banglo, berlaku di kawasan perumahan elit terletak kira-kira 20 minit pemanduan dari pusat bandar raya.

Kerja-kerja membersihkan runtuhan tanah dan bangunan semakin giat dilakukan manakala bekalan air dan tenaga elektrik juga sudah pulih untuk ribuan penduduk di kawasan perumahan berhampiran, yang sebelum ini diarahkan mengosongkan rumah bagi mengelakkan kemungkinan tidak diingin, kembali ke kediaman masing-masing.

Kejadian menggerunkan yang mengancam keselamatan ribuan penghuni di kawasan itu sebenarnya masih lagi menghantui para penduduk terbabit, malah ada penduduk tidak dapat memadam ingatan insiden buruk pada awal pagi 6 Dis lepas yang memusnahkan kediaman dan harta benda mereka.

Bagi sebahagian besar penduduk di kawasan berkenaan, berita baik yang diterima ialah pengisytiharan bahawa kawasan kediaman mereka selamat untuk diduduki sebagaimana laporan interim yang dikeluarkan Jabatan Kerja Raya.

"Ia satu berita baik bahawa kami kini dibenarkan pulang tetapi untuk berapa lama (kami boleh menetap di sini)?" soal Godwin Miranda, seorang penghuni unit di Kondominium Impian Selatan ketika ditemui Bernama, melahirkan rasa kebimbangan yang menghantui penduduk di perumahan berkenaan.

Di kawasan berhampiran, Tarin Ayub dan anggota keluarganya, yang pulang untuk mengambil beberapa barangan di rumah mereka di Jalan Bukit Mewah 2, sependapat dengan Godwin.

Rumah milik Tarin adalah antara 30 unit di sepanjang jalan itu yang diisytiharkan selamat. Meskipun berasa lega dengan berita yang diterima, beliau masih ragu-ragu sama ada akan membenarkan keluarganya kembali menghuni di situ kerana khuatir akan malang tidak berbau yang mungkin berlaku.

"Pastinya kami gembira untuk pulang ke rumah tetapi kini kami tidak pasti (sama ada kembali mendiami rumahnya)," kata Tarin, yang merupakan timbalan presiden syarikat konglomerat, Kumpulan Al-Hidayah.

Sambil menyatakan bahawa beliau merancang untuk menjual rumah yang menjadi kediaman mereka sejak 11 tahun lepas, beliau berkata rancangan itu adalah satu misi sukar.

Pasaran hartanah di Bukit Antarabangsa terjejas teruk ekoran kejadian tanah runtuh itu, dengan pembeli kini mengelakkan diri daripada membeli rumah yang suatu ketika merupakan alamat golongan elit yang "mesti dimiliki."

Seorang lagi penduduk Taman Bukit Mewah, Michelle Ng Siew Choo, dan suaminya jelas sekali kecewa melihat keadaan rumah mereka apabila pulang untuk mendapatkan beberapa barangan milik mereka hari ini.

Banglo dua tingkat milik mereka musnah sama sekali, malahan beralih lebih tiga meter daripada tapak asal akibat runtuhan tanah berkenaan.

Keluarga empat anggota itu sedang dalam percutian hari kedua di China apabila malapetaka itu berlaku.

"Kami segera pulang ke tanah air dan hancur luluh hati hati kami melihat apa yang berlaku. Ketika kejadian hanya pembantu rumah berada di rumah dan beliau selamat. Kami tidak pernah menjangkakan kejadian sebegini berlaku," katanya.

"Rumah ini telah musnah. Kini kami perlu menghadapi kenyataan dan meneruskan kehidupan," katanya sambil menambah kata bahawa keluarganya mengalami kerugian kira-kira RM1.8 juta akibat tragedi itu.

Sementara pasaran hartanah di kawasan berkenaan merudum, kadar sewa di kawasan perumahan berhampiran melonjak dan Ng mendakwa ramai penduduk yang terlibat dalam kejadian itu kini memilih untuk menyewa di kawasan perumahan berhampiran.

"Apapun, kami tidak akan mencari hartanah di kawasan ini lagi," katanya.

Sementara itu, sekumpulan penduduk Bukit Antarabangsa yang menggelarkan diri mereka sebagai Jawatankuasa Bertindak Penduduk Bukit Antarabangsa, telah melantik jurutera bebas bagi menyiasat kejadian tanah runtuh dan mengemukakan cadangan mereka.

"Ini bukannya kami tidak mempercayai siasatan yang dilakukan oleh pihak berkuasa tetapi apa yang berlaku menjadikan kami paranoid dan kami mahu mempastikan keadaan. Kami mahu ketenteraman fikiran untuk terus menetap di sini. Sebahagian daripada kami tidak ada tempat lain untuk dituju" kata pengerusinya Datuk N. Muneandy kepada Bernama.

Beliau berkata, jurutera bebas ini akan merumuskan siasatan mereka dalam masa tiga bulan dan jawatankuasa itu akan mengumumkan hasil laporan itu.

Sementara pihak berkuasa terus melakukan tugas mereka bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan perumahan itu, kebimbangan dan rasa tidak selamat jelas kelihatan di wajah mereka.

Hanya masa akan melenyapkan trauma dan memberikan keyakinan rasa suatu keadaan yang selamat bahawa kediaman mereka sudah terhindar daripada bencana. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain