suria

DAP bantah rancangan PAS laksana hukum hudud

PULAU PINANG: DAP hari ini menyatakan pendiriannya membantah cadangan PAS untuk melaksanakan hukum hudud jika pakatan pembangkang berjaya memerintah negara pada masa akan datang.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata pelaksanaan hukum hudud tidak termasuk dalam manifesto Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum Mac lepas.

"DAP tidak bersetuju dan membantah cadangan itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata beliau akan menghubungi ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu.

Akhbar hari ini melaporkan Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa berkata parti itu tidak pernah melupakan dasar perjuangannya untuk menegakkan pemerintahan Islam di negara ini termasuk melaksanakan hukum hudud. Katanya kerajaan PAS Kelantan terus mengadakan perayaan Hari Hudud setiap tahun kerana tidak berupaya melaksanakan undang-undang Islam itu disebabkan kuasa mutlak berada pada Kerajaan Persekutuan.

Sementara itu, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang Datuk Zahrain Mohamed Hashim berkata sekiranya PAS ingin melaksanakan cadangannya itu, parti itu perlu merujuk pandangan daripada rakan sekutunya sebelum membuat keputusan.

"PAS perlu merujuk kepada semua parti komponen yang berada di bawah Pakatan Rakyat. Tak eloklah sekiranya mereka membuat keputusan sendiri," katanya dan menurutnya kenyataan Husam itu berkemungkinan hanya pendapat peribadi beliau dan bukannya pendirian PAS.

Pesuruhjaya PAS negeri Salleh Man berkata PAS Pulau Pinang akan akur dengan sebarang keputusan pucuk pimpinan parti.

Di KOTA BAHARU, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata tiada masalah untuk PAS melaksanakan undang-undang Hudud dan Qisas kerana halangannya hanya terletak pada pemikiran mereka yang kurang memahami undang-undang itu.

Jika hukuman gantung boleh dilaksanakan kepada pengedar dadah maka tidak jadi masalah untuk rakyat menerima hudud yang antara lain menguatkuasakan hukuman bunuh kepada pembunuh dan hukuman potong tangan kepada pencuri, katanya.

"Hudud ini bukan dibawa PAS tetapi dibawa oleh Islam sejak dari zaman Nabi Muhammad lagi, jadi bagi orang Islam yang mentadbir negara adalah wajib bagi mereka melaksanakan hudud," katanya kepada pemberita.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata pemimpin PAS seperti beliau hanya mampu menggubal undang-undang Hudud dan Qisas itu tetapi pelaksanaannya akan diadili oleh mahkamah dan hakim berdasarkan bukti dan fakta.

"Jika tidak cukup bukti, hakim tidak akan jatuhkan hukum hudud ke atas pesalah itu. Sama seperti undang-undang yang ada sekarang," katanya.

Ditanya mengenai penerimaan parti komponen Pakatan Rakyat seperti DAP dan PKR, Nik Abdul Aziz berkata PAS sedia berbincang dengan mereka mengenai hukum hudud.

"Jika mereka tidak mahu menerima, mereka perlu ada alasan kenapa tidak boleh menerimanya...Islam memberikan peluang kepada semua untuk berbincang," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain