suria

Sultan Selangor dukacita kanak-kanak diperalat Jerit

PETALING JAYA: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dukacita dengan tindakan segelintir pihak yang memperalatkan kanakkanak untuk kepentingan kempen dan peribadi, kata Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar. Beliau berkata, luahan baginda itu dititahkan kepadanya sebelum baginda berangkat ke luar negara petang kelmarin.

"Baginda berdukacita terhadap kegiatan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab mengeksploitasikan kanak-kanak dalam apa jua kempen atau demonstrasi yang diadakan sejak kebelakangan ini.

"Tuanku mengambil berat akan perkara ini dan baginda sendiri meminta polis Selangor untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Khalid berkata, tindakan penganjur boleh mempengaruhi kanak-kanak untuk memberontak dan melanggar undang-undang sedangkan pada usia sedemikian mereka sewajarnya diberi didikan berguna dan ditanam dengan nilai sayang dan cintakan negara.

"Bukannya seawal usia 13 tahun didedah dengan unsur kejahatan, tentangan dan diajar cara untuk memberontak. Kita akan terus ambil tindakan terhadap mereka yang berani mempermainkan undang-undang negara," katanya.

Beliau khuatir trend mempergunakan kanak-kanak akan menjadikan negara semakin dicemari dengan demonstrasi jalanan yang boleh mengancam keselamatan negara seperti yang berlaku di negara-negara jiran.

Mengenai Majlis Peguam yang kerap mempersoalkan tindakan polis, Khalid berkata, sebagai pertubuhan yang dihormati, Majlis Peguam sepatutnya memelihara undang-undang negara.

Beliau berkata, dakwaan bahawa polis menyeksa kanak-kanak tidak seharusnya timbul memandangkan polis tidak menahan mereka dan tindakan polis bertujuan menyelamatkan kanak-kanak itu daripada terus menjadi mangsa.

"Siapa seksa siapa sekarang ini? Polis tidak seksa mereka. Kumpulan itu sendiri yang seksa mereka dengan menyuruh kanak-kanak ini berkayuh basikal dari utara ke Lembah Klang, bukankah itu satu bentuk seksaan?" katanya.

Khalid berkata, polis sedang menyiapkan kertas siasatan bagi mendakwa anggota Parlimen Sungai Siput, Dr. D. Jeyakumar yang ditahan di Rawang kerana menyalahgunakan kanak-kanak dalam kempen "Berbasikal Untuk Perubahan" anjuran kumpulan tidak berdaftar Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit).

Pada 15 September lalu, polis menahan 58 orang termasuk 28 kanak-kanak dan remaja bawah 18 tahun di Rawang, Selangor kerana menyertai kempen tanpa permit itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain