suria

Khairy: Dwiparti politik beri BN pulihkan imej

KOTA BAHARU: Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, dengan wujudnya dwiparti politik kuat iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat, telah memberikan peluang kepada BN memulihkan imejnya dan membawa perubahan lebih baik.

Beliau berkata, dengan perubahan politik selepas pilihan raya umum Mac lalu, BN kini dilihat lebih telus dan komitmen yang diberikan untuk membawa perubahan ke arah kerajaan lebih telus telah dilaksanakan.

"Antara perubahan yang dibawa BN adalah (pembentangan) Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2008 dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) 2008.

"Malahan BN juga menjalankan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1987 yang memberi lebih kuasa autonomi kepada pihak berkuasa universiti dalam menentukan pengurusan dan pentadbiran institusi masing-masing.

"Kesemua ini jelas memperlihatkan kekuatan kerajaan BN memperjuangkan kepentingan rakyat walaupun bilangan wakil rakyatnya tidak mencapai dua pertiga ahli Dewan Rakyat," katanya pada Wacana Perdana bertajuk "Transformasi Politik Malaysia" di Balai Islam, di sini malam tadi.

Selain Khairy, anggota panel wacana itu ialah Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dan pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Dr. Abdul Aziz Bari manakala majlis itu dipengerusikan pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff .

Malahan Khairy beranggapan undi rakyat pada pilihan raya umum 8 Mac lalu merupakan undi protes kepada BN dan bukannya tranformasi politik untuk mengingatkan BN terutamanya Umno supaya menjalankan prinsip kerajaan yang lebih telus dan berjiwa rakyat.

Justeru, beliau mengingatkan kepada Pakatan Rakyat terutamanya PAS, supaya jangan terlalu yakin terhadap pencapaian mereka setelah menguasai lima negeri kerana undi rakyat itu akan berubah jika BN mula membuat pembaharuan kepada kerajaan yang lebih baik untuk rakyat.

"Malahan Pas yang sebelum ini merupakan parti pembangkang yang kuat, kini telah mengecil dari aspek pengaruhnya, antara buktinya pelantikan ketua pembangkang di Parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah daripada Parti Keadilan Rakyat," katanya.

Beliau melihat pakatan pembangkang itu sebagai "retak menanti belah" kerana kini telah timbul percanggahan idealogi di antara kepimpinan parti.

Sementara Husam berpendirian keputusan pilihan raya umum lalu menunjukkan rakyat sudah bosan dengan BN dan kepincangan yang berlaku dalam urusan pentadbiran negara.

Beliau berkata, malahan perubahan di lima negeri ditadbir Pakatan Rakyat, termasuk tiga negeri yang ditadbir PAS iaitu Kelantan, Kedah dan Perak, bukti rakyat mahukan satu bentuk perubahan kerajaan baru yang lebih adil.

Pada Wacana itu Husam lebih banyak mengkritik langkah kerajaan BN dalam isu Suruhanjaya Pelantikan kehakiman, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan isu penswastaan Institut Jantung Negara (IJN) yang akan memberikan impak kepada golongan miskin.

Bagaimanapun bagi Abdul Aziz, perubahan politik kini menunjukkan satu perubahan yang positif kerana ianya berlaku dalam kerangka yang aman.

"Seperti di Amerika Syarikat, terdapat dua parti yang kuat di negara itu sentiasa berlumba untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat dan ianya memberikan manfaat kepada rakyat dan negara," katanya.

Bagaimanapun, katanya, perubahan itu mungkin tidak kekal kerana seperti di Taiwan, parti politik utama telah "direhatkan" selama dua penggal sebelum rakyat memilih parti utama itu kembali.

Beliau juga berharap dua suruhanjaya yang dicadangkan BN dapat dilaksanakan dengan serius dan kerajaan perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap perkara yang dicadangkan suruhanjaya itu kelak.

"Jangan ianya terbiar seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang cadangan pihak itu tidak diendahkan oleh kerajaan dan cadangannya tidak dibahaskan di Parlimen.

"Suruhanjaya dilihat tidak ada gigi. Jadi ianya menjadi siasia," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain