suria

Polis siasat kaitan tembak mati ahli perniagaan, bekas ADUN Tenggaroh

JOHOR BARU: Polis sedang menyiasat sama ada pembunuhan ahli perniagaan Johor, Datuk M. Gunasegaran dekat Segamat pagi semalam ada kaitan dengan kejadian menembak mati bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh, Datuk S. Krishnasamy.

Ketua Polis Daerah Segamat, Suprintendan Abdul Majid ketika mengulas spekulasi bahawa pistol yang sama digunakan dalam kedua-dua kejadian itu berkata, polis sedang menunggu laporan balistik.

Malah, Gunasegaran juga salah seorang yang disoal siasat berhubung pembunuhan Krishnasamy awal tahun ini.

Ketika ditanya bahawa ahli perniagaan itu pernah menerima ugutan sebelum ini, Abdul Majid berkata, mangsa tidak membuat laporan polis.

Difahamkan kejadian itu berkaitan dengan masalah dalam urusan perniagaan meminjam wang.

Abdul Majid meminta sesiapa yang mempunyai maklumat agar menghubungi polis menerusi talian 07-2212999 atau balai polis berdekatan. Polis menemui mayat Gunasegaran yang juga pemilik sebuah kedai barangan kemas dengan beberapa kesan tembakan di tubuhnya terbaring di sebuah lorong belakang berhampiran dengan Jalan Genuang kira-kira 6.15 pagi.

Ahli perniagaan berusia 49 tahun itu meninggalkan seorang isteri dan tiga anak, dua daripadanya lelaki.

Semalam, Pengerusi MIC Johor, Datuk K.S. Balakrishnan berkata, sepanjang pengetahuannya Gunasegaran tidak menganggotai MIC atau pernah menjawat apa-apa jawatan di dalam parti terbabit.

Artikel Lain