suria

IPF: Keputusan Mahkamah Tinggi 26 Disember

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini akan membuat keputusan pada 26 Disember sama ada mempunyai bidang kuasa perundangan untuk mendengar injunksi sementara yang difailkan oleh bekas Naib Presiden Barisan Progresif India (IPF) V. Mathiyalagan bagi menghalang Puan Sri Jayashree Gnanapandithan daripada terus berkhidmat sebagai Presiden parti.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Ariff Md Yusof berkata, beliau memerlukan masa untuk membuat keputusan berhubung perkara itu memandangkan bantahan awal yang dikemukakan oleh Jayashree membabitkan kes perundangan yang sangat penting.

Semalam, peguam S.Selvam yang mewakili Jayashree, membangkitkan bantahan awal bahawa mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa perundangan untuk mendengar permohonan Mathiyalagan dan meminta mahkamah menolak permohonan itu.

Di peringkat permulaan, peguam yang mewakili Mathiyalagan, K.Saraswathy, ketika berhujah bagi meyakinkan mahkamah bahawa ia mempunyai bidang kuasa perundangan untuk melayani permohonan Mathiayalagan, berkata tiada keputusan dibuat oleh IPF dalam pelantikan Jayashree sebagai Presiden parti.

Saraswathy berkata tiada mesyuarat Majlis Tertinggi parti yang berlangsung di Hospital Kuala Lumpur (KLH) pada 20 April, 2008 kerana ia tidak disertai oleh penjawat jawatan dan anggota parti sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan parti. BERNAMA

Artikel Lain