suria

Saya ketuai kempen Wanita Umno - Rafidah

KUALA TERENGGANU: Tan Sri Rafidah Aziz hari ini menjelaskan bahawa sebagai Ketua Wanita Umno, beliau yang mengetuai kempen pergerakan itu bagi menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Jan depan.

Katanya perkara itu tidak sepatutnya dijadikan isu kerana pada manamana pilihan raya kecil lepas, beliau yang mengetuai jentera pergerakan tersebut supaya ia berjalan lancar.

Kecuali pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh Ogos lepas, Rafidah berkata beliau terpaksa mewakilkan tanggungjawab tersebut kepada pemimpin lain, kerana baru selesai menjalani pembedahan lutut.

"Sebagai ketua (Wanita Umno) saya mengetuai (kempen Wanita Umno) di semua pilihan raya kecil kecuali di Permatang Pauh, saya wakilkan kepada Setiausaha Eksekutif Wanita Umno...ia memang sentiasa macam itu.

"Kali ini, saya okay...saya gembira dan lega dapat datang sebab semangat (yang ditunjukkan Wanita Umno) di sini," katanya kepada pemberita selepas program mesra rakyat Parlimen Kuala Terengganu bersama beliau di sini hari ini.

Dalam laporan akhbar semalam, Naib Ketua Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dilaporkan hanya mengangkat bahu apabila ditanya mengapa Rafidah mengetuai kempen Wanita Umno pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu, dan mendakwa beliau tiada petunjuk mengenai perkara itu.

Mengulas lanjut, Rafidah berkata beliau begitu bersemangat untuk datang ke sini bagi membantu jentera Wanita Umno bagi memastikan BN mengekalkan kerusi tersebut.

Tambahan pula, katanya disebabkan beliau tidak memegang apaapa jawatan dalam kerajaan sekarang, beliau mempunyai banyak masa untuk membantu kempen pergerakan itu.

"Sudah empat kali saya datang ke sini kerana saya menganggap, kerjakerja macam ini (berkempen), tidak boleh diabaikan...nak wakilkan kepada orang lain, tidak payah. Saya datang untuk memastikan jentera Wanita Umno dan BN bersiap sedia dan bersemangat," katanya.

Ditanya keadaan itu seolah-olah wujudnya tiada penyelarasan antara Ketua dan Naib Ketua Wanita, Rafidah berkata: "Tidak tahu pula, sebab semua orang datang. Hari ini pun saya panggil semua datang, semua Ketua Wanita negeri-negeri dijemput pada satu majlis lain petang ini." Dalam perkembangan lain, beliau berkata Wanita Umno dan Wanita BN begitu bersemangat untuk menarik sokongan golongan wanita yang berjumlah 40,489 orang daripada keseluruhan 80,229 pengundi Kuala Terengganu, bagi memastikan kemenangan calon BN.

Sehubungan itu, beliau berharap mana-mana pemimpin Umno dan BN dari negeri lain, yang datang membantu pada pilihan raya kecil itu, supaya tidak "mengganggu" jentera pergerakan itu daripada melaksanakan tanggungjawab mereka.

"Saya minta pucuk pimpinan Terengganu atau pemimpin negeri lain, kalau hendak buat mesyuarat, panggil semua sekali dan jangan buat secara individu. Sebab kita tiada masa lagi...," katanya.

Beliau berkata Wanita Umno akan menyokong sesiapa pun yang dipilih sebagai calon BN oleh pucuk pimpinan kerana apa yang lebih penting adalah untuk memastikan parti itu dapat mempertahankan kerusi parlimen Kuala Terengganu.

Dalam pada itu, Rafidah berkata Wanita Umno dan BN menyambut baik saranan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya isu agama dan perkauman tidak dibangkitkan dalam perjuangan politik mereka. BERNAMA

Artikel Sebelum

Usah larang anak berpeluh

Artikel Berikut

Artikel Lain