suria

Kenderaan rasmi: Kerajaan Pusat tiada kuasa campur tangan

KUALA LUMPUR: Kerajaan pusat tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan mengenai pengurusan kenderaan rasmi kerajaan negeri, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Kong Cho Ha.

Katanya penyelenggaraan dan pembelian kereta yang dimiliki kerajaan negeri tidak di bawah kawal selia Spanco Sdn Bhd, syarikat konsesi yang bertanggungjawab bagi penyelenggaraan dan pembaikan kereta Proton Perdana V6 Standard dan Proton Perdana V6 Executive di bawah kerajaan Persekutuan.

"Jadi kerajaan negeri mempunyai cara yang tertentu, yang tidak terkawal, kadang-kadang kita dengar kos yang lebih dan sebagainya kerana mereka tidak ada satu kos yang tetap seperti di dalam perjanjian antara Kerajaan Persekutuan dan Spanco," katanya dalam sesi soal jawab di persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Kong berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Rizuan Abd Hamid mengenai keenganan kerajaan negeri Kedah dan Perak menggunakan kereta Proton sebagai kenderaan rasmi dan menggunakan Toyota Camry yang lebih mahal dari segi harga dan kos penyelenggaraan.

Kong berkata melalui perjanjian dengan Spanco, kerajaan membayar kos sewaan dan penyelenggaraan kepada Spanco secara tetap setiap bulan.

"Kos penyelenggaraan dan pembaikan semasa yang dibayar adalah antara RM328 hingga RM820 sebulan bagi sebuah Proton Perdana V6 Standard dan RM528 hingga RM1,320 sebulan bagi sebuah Proton Perdana V6 Executive bergantung kepada usia kereta," katanya.

Pembayaran itu turut meliputi semua jenis penyelenggaraan dan pembaikan yang termasuk servis berjadual, semua jenis pembaikan, kerosakan akibat kemalangan, kos alat ganti dan kos buruh, katanya.

Mengenai peningkatan kualiti, Kong berkata Proton Holdings Bhd telah berjaya mengurangkan kerosakan yang berpunca daripada transmisi sehingga kurang satu peratus tahun ini berbanding 18 peratus pada tahun 2004.

Selaku pengeluar kereta nasional, syarikat itu telah berjaya melaksanakan beberapa inisiatif bagi menambah baik kualiti kereta yang dikeluarkan.

"Inisiatif tersebut bukan hanya terhad kepada aktiviti pemasangan kereta tetapi juga merangkumi aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) di mana komponen yang kerap menerima rungutan pelanggan telah diperbaharui," katanya.

Ini termasuk pemasangan sistem penyejukan minyak transmisi bagi menangani masalah suhu tinggi pada sistem transmisi, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Usah larang anak berpeluh

Artikel Berikut

Artikel Lain