suria

Jawatankuasa Disiplin lambat bertindak kes politik wang - Mubarak

KUALA LUMPUR: Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) mendesak Umno mengambil tindakan segera terhadap beratus-ratus aduan mengenai amalan politik wang dalam pemilihan Majlis Tertinggi Umno dan mesyuarat bahagian-bahagian yang baru selesai.

Ini kerana Mubarak berpendapat Jawatankuasa Disiplin Umno terlalu lambat mengambil tindakan terhadap ratusan komplen yang dibuat mengenai amalan rasuah dalam parti itu.

"Melengah-lengahkan kes ini telah ditafsir oleh ahli-ahli dan pemerhati sebagai Umno tidak serius terhadap rasuah politik dan mahu perkara ini dilupakan dan mati secara perlahan-lahan," kata Setiausaha Agung Mubarak, Datuk Md Di A. Ghani dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh itu, katanya, Majlis Tertinggi Mubarak pada mesyuaratnya yang dipengerusikan oleh timbalan presiden, Datuk Seri Abdul Aziz Rahman hari ini mencadangkan dan mendesak supaya langkah-langkah segera diambil untuk menangani gejala itu.

Antaranya ialah membesarkan Jawatankuasa Disiplin dan anggota-anggota siasatan agar beratus-ratus kes itu disegerakan sebelum Mac 2009.

Mubarak juga mahu semua pihak supaya jangan menganggap Jawatankuasa Disiplin sebagai sebuah mahkamah yang memerlukan keputusan "beyond reasonable doubt" (tanpa sebarang keraguan yang munasabah) untuk mensabitkan sebarang kes.

Md Di berkata, Jawatankuasa Disiplin adalah jawatankuasa dalaman yang diberi kuasa untuk menjaga nama baik Umno dan untuk kebaikan Umno.

Katanya, jawatankuasa itu adalah instrumen bagi Umno untuk memelihara agama, bangsa dan tanah air, oleh itu tindakan mesti diambil walaupun tindakan itu boleh dilihat dan ditafsirkan sebagai adil atau tidak adil oleh pelbagai pihak.

"Jawatankuasa Disiplin jangan tunduk kepada pihak-pihak tertentu yang mahu menjalankan pendakwaan memilih-milih kepada hanya keskes tertentu dan mahukan kes-kes yang lain disembunyikan.

"Jangan jadikan Jawatankuasa Disiplin sebagai sasaran bila Umno tidak berjaya menangani rasuah politik, pada hal yang bertanggungjawab adalah kepimpinan Umno sendiri," kata Md Di.

Katanya, Majlis Tertinggi MUBARAK mendesak Jawatankuasa Disiplin melaksanakan tanggungjawabnya tanpa takut atau memihak untuk membanteras rasuah politik dalam Umno yang telah menjadi kanser. BERNAMA

Artikel Sebelum

Usah larang anak berpeluh

Artikel Berikut

Artikel Lain