suria

Bekas Naib Presiden IPF tiada locus standi fail injunksi

KUALA LUMPUR: Bekas naib presiden Parti Progresif India (IPF), V. Mathiyalagan tidak ada locus standi untuk memfailkan injunksi menghalang Puan Sri Jayashree Gnanapandithan daripada terus berkhidmat sebagai presiden parti itu, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Peguam S.Selvam, yang mewakili Jayashree dan dua defendan lain berkata ini kerana permohonan untuk satu injunksi dan juga writ saman terhadap defandan difailkan oleh Mathiyalagan setelah beliau digantung oleh parti itu pada 12 November lepas dan seterusnya dipecat pada Ahad lepas oleh perhimpunan Agung IPF.

Selvam juga mengemukakan bahawa di bawah Seksyen 18B dan 18C Akta Pertubuhan 1966, mahkamah itu tidak ada bidangkuasa untuk mendengar dan melayan permohonan tersebut yang dipohon oleh Mathiyalagan kerana seksyen itu menyebut bahawa keputusan parti politik tersebut adalah muktamad dan konklusif.

Dengan memberikan beberapa contoh kes yang diputuskan Mahkamah Persekutuan, Selvam berkata, ia menunjukkan bahawa keputusan parti itu mengenai pelantikan Jayashree sebagai presiden parti janganlah dicabar, dimansuhkan atau dikaji semula oleh mana-mana mahkamah dan dalam sebarang alasan.

Selvam berkata bahawa forum yang sesuai untuk Mathiyalagan menyelesaikan pertikaian antara parti itu ialah Pendaftar Pertubuhan.

Beliau juga berkata, bantahan permulaan yang dibangkitkan Jayashree bahawa mahkamah tidak ada bidangkuasa untuk mendengar permohonan Mathiyalagan dan memohon mahkamah tersebut untuk menolak permohonan berkenaan.

Pada 24 November, Mathiyalagan memfailkan writ saman terhadap Jayashree, setiausaha agung K. Velayutham dan penolong setiausaha K. Neducheralanathan dan menamakan mereka sebagai defendan.

Dalam saman itu, beliau memohon injunksi menghalang Jayashree daripada terus berkhidmat sebagai presiden parti.

Selain injunksi, beliau juga memohon ganti rugi teruk dan teladan, kos dan bantuan lain yang diputuskan sesuai oleh mahkamah.

Beliau juga memohon satu perintah mahkamah untuk menghalang Jayashree daripada campur tangan dalam hal ehwal parti itu dan satu pengisytiharan bahawa beliau bukanlah presiden IPF yang sah dan semua tindakannya sebagai presiden adalah batal dan tidak sah.

Mathiyalagan juga memohon satu pengisytiharan bahawa surat pelantikan Jayashree sebagai presiden parti bertarikh 20 April 2008 dan mesyuarat majlis, majlis tertinggi parti itu yang diadakan di Hospital Kuala Lumpur pada 20 April, juga adalah batal dan tidak sah.

Mathiyalagan mendakwa bahawa kenyataan majlis tertinggi IPF mengenai pelantikan Jayashree sebagai pemangku presiden dan kemudian menggantikan presiden parti mendiang suaminya, Tan Sri M.G. Pandithan, adalah satu penipuan.

Beliau berkata tindakan Jayashree memanggil dirinya presiden parti tanpa sebarang dasar yang sah atau kuasa mengakibatkan kekeliruan kepada anggota majlis tertinggi IPF, anggota parti itu dan orang ramai.

Dalam affidavit beliau yang difailkan pada 11 Dis, Jayashree berkata tidak ada penipuan, komplot atau pemalsuan dalam pelantikannya sebagai presiden parti.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Ariff Md Yusof ditangguh ke esok.

Mohamad Ariff berkata oleh kerana bantahan permulaan yang dibangkitkan Jayashree membabitkan kes undangundang yang sangat penting, beliau menasihatkan peguam Mathiyalagan, K.Saraswathy memberikan hujah esok bagi meyakinkan mahkamah bahawa mahkamah ada bidangkuasa untuk melayan permohonan Mathiayalagan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Usah larang anak berpeluh

Artikel Berikut

Artikel Lain