suria

Kerajaan timbang pembelian Eurocopter bila ekonomi pulih

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata kerajaan akan menimbang semula keputusan mengenai pembelian helikopter Eurocopter bagi menggantikan pesawat Nuri apabila ekonomi pulih. Najib yang juga Menteri Kewangan berkata penangguhan pembelian itu bersifat sementara ekoran krisis ekonomi yang melanda dunia sekarang.

"Bila keadaan sudah pulih, kerajaan boleh timbangkan semula untuk teruskan pembelian helikopter jenis ini ataupun apa-apa keputusan yang lain yang mungkin dibuat kerajaan," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Felda dan Fama mengenai projek Taman Kebun Dapur di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak di sini hari ini.

Najib diminta mengulas syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) semalam yang meminta kerajaan menimbang semula keputusan menangguhkan pembelian 12 unit Eurocopter EC725 bernilai RM1.604 bilion itu.

PAC dalam satu laporan yang diedarkan kepada anggota Dewan Rakyat mencadangkan pembelian itu dibuat selewat-lewatnya pada 2011 setelah mengambil kira bahawa helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysa (TUDM) selamat digunakan sehingga 2015.

Najib berkata terdapat dua persoalan dalam perkara ini.

"Satu, kita nak pastikan bahawa pembelian ini diuruskan dengan cara tidak ada apa-apa unsur penyelewengan ataupun unsur yang tidak sihat dan ini sudahpun disahkan oleh PAC, PAC dah buat kajian dan PAC kata kita sudahpun mematuhi segala prosedur dalam tender antarabangsa ini, jadi tuduhan yang dibuat pada peringkat awal itu adalah tidak berasas sama sekali," katanya.

Beliau berkata persoalan kedua ialah keputusan menangguhkan pembelian itu ialah kerana keadaan ekonomi pada masa ini memaksa kerajaan memberikan keutamaan kepada projek-projek yang ada impak besar terhadap pertumbuhan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain