suria

Remaja lelaki culik bayi diarah hantar ke pusat pemulihan

KUANTAN: Seorang remaja lelaki diperintah menjalani pemulihan di Sekolah Tunas Bakti, Jerantut selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan menculik bayi berusia sebulan pada 28 Okt lepas.

Dalam prosiding mahkamah yang dijalankan secara tertutup, Majistret Nordiana Abdul Aziz memerintahkan remaja berumur 14 tahun itu ditempatkan di sekolah berkenaan selama tiga tahun.

Selepas tempoh berkenaan berakhir, Nordiana turut memerintahkan tertuduh diawasi oleh pegawai akhlak selama setahun.

Mahkamah juga mengarahkan ibu bapa tertuduh melawat anak mereka di sekolah berkenaan sekurang-kurangnya dua bulan sekali.

Sementara itu, Mohd Sabri Mat Amin, 18, dan kakaknya Shafuan Mat Amin, 30, yang menghadapi tuduhan sama mengekalkan pengakuan tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 Feb tahun depan sebagai tarikh perbicaraan.

Pada 4 Nov lepas, kedua-dua beradik itu mengaku tidak bersalah, namun remaja terbabit mengaku bersalah atas tuduhan menculik Mohd Aidil Abdullah daripada jagaan ibunya, Zaiton Awang Besar, di rumahnya di Kampung Galing Besar di sini pada 10 malam 28 Okt lepas.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik bayi dari penjaga sah dan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun serta denda.

Pendakwaan dilakukan Penolong Pendakwa Raya, Noor Svetlana Mohd Noor Nordin sementara ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain