suria

Pinda Perlembagaan secara total untuk jamin integriti SPRM

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Gombak, Mohd. Azmin Ali mencadangkan satu penggubalan secara total melibatkan Perlembagaan Persekutuan sekiranya kerajaan benar-benar mahukan Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2008 mempunyai integriti yang tinggi.

Azmin berkata, rang undang-undang SPRM masih dilihat tidak bebas kerana kuasa pendakwaan masih lagi berpusat kepada Jabatan Peguam Negara seperti yang tercatat dalam Seksyen 58 .

"Adakah kuasa SPRM ini benar-benar bebas sekiranya Seksyen 58 masih terpakai? Ini bermakna penilaian SPRM akan dinilai oleh Peguam Negara dan saya bimbang ketaatan kepimpinan SPRM akan beralih kepada Jabatan Peguam Negara dan harus diingat Jabatan Peguam Negara adalah sebahagian jentera pentadbiran, maka di mana kebebasan SPRM yang kita katakan pada hari ini.

"Justeru, kalau benar kerajaan bersungguh-sungguh mahu rang undang-undang SPRM ini mempunyai integri yang tinggi, saya mencadangkan penggubalan secara total melibatkan Perlembagaan Persekutuan.

"Sekiranya ia menuntut mendapat sokongan dua pertiga majoriti, saya beri jaminan apabila kita dapat membentuk satu badan yang benar-benar berintegriti, kami dari Pakatan Rakyat mendokong usul yang dibawa kerajaan," katanya ketika membahaskan rang undang-undang SPRM malam tadi.

Azmin turut mencadangkan supaya Jawatankuasa Khas SPRM bukan hanya dianggotai oleh ahli Parlimen daripada kerajaan tetapi juga daripada pembangkang.

"Hal ini penting supaya syor yang dibawa oleh jawatankuasa dapat mewakili ahli Parlimen yang mewakili rakyat negara kita.

"Begitu juga Jawatankuasa Aduan yang mana Menteri berkaitan bebas melantik lima orang yang difikirkannya sesuai dan ini dibimbangi akan menjadikan ia tidak bebas.

"Justeru, saya cadangkan Jawatankuasa Aduan ini dianggotai oleh golongan profesional yang berintegriti cukup tinggi yang tidak melibatkan ahli-ahli politik daripada mana-mana parti," katanya.

Katanya, ahli-ahli jawatankuasa juga tidak perlu dibayar elaun tetap bulanan kerana jika bayaran itu tinggi, ia akan mempengaruhi kedudukan mereka untuk terikat kepada pimpinan politik khususnya kepada Perdana Menteri dan Menteri.

"Justeru, saya cadangkan supaya ahli jawatankuasa hanya dibayar elaun kehadiran supaya tiada satu jumlah besar yang dibayar bagi mengelakkan ketaatan mereka bukan kepada prinsip untuk menjalankan tugas secara adil dan bebas tetapi kerana mengenang jasa Perdana Menteri dan Menteri," katanya.

Selain itu, Azmin berkata, bagi memastikan kebebasan dan integriti SPRM. pelantikan pegawai dan pegawai rendah badan itu perlu dilakukan oleh satu suruhanjaya badan itu sendiri dan bukan di bawah Jabatan Perkhidmtan Awam (JPA).

"Kalau PDRM (Polis Diraja Malaysia) boleh bentuk Suruhanjaya Perkhidmatan Polis, kalau JPA ada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, saya cadangkan Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM dapat dibentuk bagi melantik, menaikkan pangkat dan mengambil tindakan tata tertib dengan sokongan Jawatankuasa Aduan SPRM," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain